Monday, June 16, 2008

Kita sedia berdemonstrasi walaupun di hadapan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Assalamualaikum.

Pemuda PAS berhimpun jika konsert dangdut, rock diteruskan.
SHAH ALAM, 16 Jun (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Selangor akan mengadakan perhimpunan membantah konsert Ratu Rock, Ella dan Ratu Dangdut, Mas Idayu jika kerajaan negeri tidak mengambil tindakan terhadap memorandum bantahan yang dihantar kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mokhyi berharap Khalid segera bertindak agar tidak mencetuskan ketidakpuasan hati rakan kongsi khususnya PAS dalam kerajaan yang baru diamanahkan oleh rakyat.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Politik, Nik Nazmi Nik Ahmad di tingkat 20, Pejabat Menteri Besar, di sini pagi tadi.

Menurut Sallehen, Pemuda PAS Selangor menyokong penuh pertandingan tersebut kerana sukan merupakan salah satu kegiatan hidup dan mampu menjana ekonomi negeri.
Beliau berkata, konsert itu hanya menggambarkan program gaya hidup mewah dan membazir sedangkan pada waktu yang sama rakyat berada dalam kegelisahan dan tekanan akibat kenaikan harga minyak dan barangan keperluan.
Sallehen menegaskan isu prinsip seperti menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran tidak boleh dikompromi atau ditutup sebelah mata oleh PAS, sebuah parti yang konsisten dalam perjuangan Islam sejak 50 tahun. http://harakahdaily.net - 16 Jun 2008.

Di sini saya senada dengan Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor yang menentang penganjuran konsert yang melibatkan artis seperti Mas Idayu dan Ella sempena perlawanan persahabatan antara pasukan bola sepak Selangor dan Singapura. Kerana tuntutan amal maaruf nahi mungkar tidak mengenal lawan atau rakan dalam Pakatan. Siapa yang bertindak di luar daripada Islam kita akan tegur.

Kerajaan negeri khususnya Menteri Besar harus sedar bahawa Negeri Selangor ini sudah cukup dengan tempat-tempat maksiatnya yang tumbuh pada zaman pentadbiran Barisan Nasional lagi. Jadi kita tidak mahulah gejala maksiat ini ditambah lagi oleh kerajaan yang memerintah sekarang ini. Di sini kita mungkin boleh menerima hakikat bahawa dengan pembentukan kerajaan campuran maka Pas belum boleh melaksanakan Islam iaitu menutup tempat-tempat maksiat yang diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional dahulu.

Namun begitu dalam hal penganjuran konsert ini kerajaan negeri boleh memilih untuk tidak menganjurkannya atau jika dianjurkan pun mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Islam. Kita percaya pemimpin DAP daripada kaum cina juga tidak suka jika generasi mereka menjadi generasi yang rosak yang akhirnya akan menghancurkan bangsa mereka sendiri.

Untuk ini juga saya sedia untuk turun berdemonstrasi seperti yang disebutkan oleh Ketua Pemuda Pas Negeri Selangor itu. Kita biasa berdemonstrasi terhadap kerajaan Barisan Nasional. Namun begitu kita juga sedia untuk berdemonstrasi terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat sendiri demi melaksanakan tuntutan amal maaruf nahi mungkar.

posted by Lidah Penghunus @ 6:38 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter