Thursday, June 19, 2008

Golongan artis diberikan ruang dalam media.

Assalamualaikum.

Kurang dua hari lagi pemerintahan Pakatan Rakyat khususnya di Negeri Selangor akan memasuki hari yang ke-100. Sempena dengan itu hari ini kebanyakan masjid dan surau di Seluruh Selangor telah mengadakan majlis bacaan tahlil dan Surah Yasin. Ianya bertujuan untuk memohon kepada Allah agar memberikan keberkatan kepada kerajaan yang akan mencecah umur 100 hari ini. Apabila disebut tentang keberkatan ini oleh kerananya jugalah baru-baru ini Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor telah menghantar memorandum kepada Kerajaan Negeri Selangor membantah persembahan artis Mas Idayu dan Ella di negeri berkenaan. Tujuannya adalah agar negeri yang turut ditadbir oleh bersama dengan Pas ini bebas daripada unsur-unsur maksiat dan seterusnya mendapat keredhaan daripada Allah SWT.

Namun begitu sebagaimana biasa tindakan DPPNS yang diketuai oleh Ustaz Solehin Mukhyi ini telah mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk daripada rakan Pakatan Rakyat sendiri. Sedangkan artis yang akan membuat persembahan itu terus dibela. Dalam sebuah akhbar perdana hari ini, pada ruangan dunia hiburannya salah seorang artis yang terbabit diberi ruang yang agak luas untuk mempertahankan dirinya dan seterusnya membidas DPPNS itu tadi. Dan hujah-hujah yang diberikan oleh artis berkenaan seperti kebiasaannya sama seperti artis-artis yang lain yang berkata mengikut logik akal tanpa bersandarkan kepada ilmu agama yang sebenar.

Sedangkan bagi pihak DPPNS tidak pun diberikan ruang oleh media perdana untuk memberikan penjelasan mengapa mereka menolak persembahan artis-artis wanita ini. Sepatutnya akhbar-akhbar perdana ini haruslah memberikan ruang kepada DPPNS khususnya Ustaz Solehin untuk menerangkan berdasarkan ilmunya mengapa artis-artis wanita diharamkan untuk membuat persembahan di khalayak ramai. Namun kita amat-amat bersyukur dengan keterbukaan MB Selangor sendiri yang membawa kepada pertemuan antara DPPNS dengan Baginda Sultan Selangor yang akan diadakan dalam masa terdekat ini. Kita doakan agar pertemuan ini akan menatijahkan sesuatu yang positif kearah mencari keredhaan dalam pentadbiran Negeri Selangor.

posted by Lidah Penghunus @ 9:28 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter