Wednesday, July 09, 2008

Mengapa harus dipersoalkan orang yang hendak laksanakan Islam?

Assalamualaikum.

Syarat solat lima waktu dipersoal.
KUALA LUMPUR: Cadangan Kerajaan Pas Kelantan menjadikan solat lima waktu dan Jumaat sebagai syarat kenaikan pangkat serta pengambilan baru kakitangan awam dianggap sebagai menafikan hak kaum lain.
Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata cadangan itu dilihat berat sebelah kerana menerusinya hanya individu beragama Islam boleh dapat kenaikan pangkat atau mendapat pekerjaan.
"Ini kerana hanya mereka (pekerja beragama Islam) bersembahyang lima waktu dan Jumaat. Macam mana dengan pekerja atau individu menganut agama lain? Adakah mereka ini tidak berpeluang bekerja atau naik pangkat langsung. Berita Harian - 9 Julai 2008.

Kakitangan awam di negara ini amat tidak beruntung mempunyai pemimpin kesatuan sekerja yang berfikiran singkat seperti Omar Osman ini. Tempoh hari beliau menasihatkan agar penjawat awam tidak menyertai himpunan PROTES bagi membantah kenaikan harga minyak sedangkan perjuangan PROTES juga adalah untuk kakitangan awam yang turut merasa terhimpit dengan kenaikan harga minyak. Dalam akhbar hari ini beliau mempersoalkan pula cadangan Kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai kerajaan negeri.

Di sini Omar Osman harus meneliti cadangan kerajaan negeri itu sebelum mengeluarkan kenyataan. Yang kerajaan negeri sebut cadangan itu hanyalah untuk mereka yang beragama Islam dan cadangan mensyaratkan solat itu hanyalah tambahan kepada syarat-syarat kelayakan yang sedia ada khas untuk mereka yang beragama Islam. Untuk yang bukan beragama Islam mereka sudah tentulah termaktub kepada syarat-syarat yang sedia ada seperti kelulusan akademik.

Kita hairan mengapa begitu sukar untuk mereka menerima apabila kerajaan negeri pimpinan Tok Guru Nik Aziz ingin melaksanakan tuntutan Islam di negeri pentadbirannya. Mereka mengatakan langkah berkenaan adalah baik tetapi masih ragu-ragu tentang perlaksanaanya. Ini samalah seperti mereka mengatakan bahawa Islam itu adalah agama yang terbaik tetapi masih ragu-ragu untuk melaksanakan undang-undang Islam.

Ada yang mengatakan bahawa perlaksanaan syarat bersolat ini akan menjadikan kakitangan awam berpura-pura semata-mata untuk naik pangkat. Di sini kita mahu bertanya adakah semua mereka yang menunjukkan tahap kerajinan bekerja itu tidak berpura-pura terutama sekali di hadapan ketua mereka? Kita lihat pula contoh perlaksanaan kad perakam waktu. Adakah semua kakitangan awam di negara ini benar-benar berkelakuan jujur dalam merekod kad perakam waktu mereka? Sudah tentu tidak. Namun ianya adalah sesuatu yang baik untuk diteruskan kerana sekurang-kurangnya ianya mendidik pekerja untuk sampai awal waktu ke tempat kerja.

Ianya samalah juga dengan tindakan Kerajaan Kelantan melarang rakyat mereka yang beragama Islam membeli dan meminum minuman keras. Namun tetap ada juga mereka minum minuman keras ini secara sembunyi-sembunyi. Pelbagai taktik yang akan mereka gunakan untuk memenuhi keinginan mereka itu. Namun begitu yang penting Kerajaan Pas Kelantan telah menjalankan kewajibannya sebagai kerajaan untuk mengharamkan perkara yang diharamkan terhadap umat Islam. Ini samalah juga dengan solat yang diwajibkan atas setiap umat Islam yang cukup syarat.

Sebagai kerajaan sudah tentulah Pas akan wajib untuk memastikan agar setiap orang Islam di bawahnya mengerjakan solat. Dan apa yang perlu kita ingat setiap pekerjaan baik yang dilakukan sudah tentulah akan mendapat keredhaan daripada Allah dan seterusnya pertolongan dariapada-Nya.

posted by Lidah Penghunus @ 10:42 PM   1 comments

1 Comments:

At 3:43 AM, Anonymous Anonymous said...

itulah yg akan jadi bila sijahil cuba utk menunjuk pandai..
akhir skali yg jelas dan nyata hanyalah kebodohan diri sendiri..
bagaikan memalit taik lembu kemuka..

 

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter