Sunday, July 31, 2005

Harga minyak dan hiburan.

Assalamualaikum.

Untuk kali ketiga harga minyak kita naik lagi. Nampaknya kuasa beli dan upah benar rakyat semakin menguncup kerana harga minyak inilah yang boleh beri impak yang besar kepada harga barang-barang keperluan harian.

Apabila kenaikan harga minyak diumumkan pada malam minggu yang lepas, saya menemani seorang sahabat mengisi minyak di sebuah stesyen minyak. Dapat saya perhatikan malam itu rakyat berpusu-pusu untuk mengisi minyak sebelum harga minyak naik pada tepat jam 12 tengah malam. Setelah lebih kurang 20 minit beratur panjang akhirnya tiba giliran kami untuk mengisi minyak. Dalam kesibukan pemilik kenderaan mengisi minyak, di sebelah pam tempat kami mengisi minyak, seorang wanita yang separuh umur rancak bercerita tentang peserta yang tersingkir dari Akademi Fantasia yang juga berlangsung pada malam itu.

Apa yang saya ingin perkatakan di sini, nampaknya hiburan seolah-olah menjadi seperti dadah atau alat penenang yang boleh meredakan fikiran manusia yang berserabut buat sementara waktu. Walaupun ianya hanya sementara waktu, tetapi ada banyak jenis hiburan lalai yang disajikan. Dari Akademi Fantasia hinggalah ke Malaysian Idol dan program hiburan sebegini tidak putus-putus ditayangkan di televisyen.

Saya pernah terbaca sebuah majalah yang menunjukkan bahawa industri hiburan di india khususnya bollywood menjadi alat untuk masyarakat miskin di negara tersebut untuk melupakan kesengsaraan yang sedang mereka hadapi. Malahan dalam majalah itu juga menyatakan bahawa golongan miskin ini sanggup menghabiskan pencarian mereka selama sehari semata-mata untuk menonton filem kegemaran mereka.

Maka tidak hairanlah mengapa di negara kita semakin banyak program-program berbentuk hiburan diwujudkan khususnya di televisyen. Tujuannya hanyalah supaya rakyat semua di lekakan dari memikirkan kezaliman yang dikenakan terhadap mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 11:50 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter