Kerajaan pun nak buat XPDC da'wah
Assalamualaikum.
Dalam usaha untuk memberi kesedaran kepada golongan muda tentang bahayanya dadah dan sekaligus untuk menangani masalah penagihan dadah, kerajaan di bawah kementerian dalam negeri bercadang untuk mewujudkan pasukan-pasukan yang akan masuk ke pusat-pusat hiburan seperti pub, disko dan sebagainya untuk memberi penerangan dan kesedaran kepada pengunjung kelab hiburan tentang betapa pentingnya mereka menghindari daripada menggunakan dadah.
Di sini saya teringat kepada program xpdc da'wah yang anjuran Dewan Pemuda Pas Pusat yang mana dalam usaha mereka untuk memberi kesedaran kepada anak-anak muda khususnya anak muda islam, mereka turun beramai-ramai ke tempat-tempat peleseran seperti di Bangsar dan Bukit Bintang, mengedarkan risalah-risalah yang mengajak anak-anak muda yang hanyut dengan budaya hedonisme atau budaya mengagung-agungkan keseronokan ini agar kembali kepada islam.
Apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah, Pemuda Pas melakukan ikhtiar sedemikian kerana mereka hanyalah parti pembangkang yang tidak mempunyai kuasa dalam membenteras kegiatan-kegiatan maksiat. Sebagaimana sabda rasulullah yang bermaksud "jika kamu nampak kemungkaran maka cegahlah dengan tangan (kuasa) dan jika tidak cegahlah dengan lidah dan jika lidah maka cegahlah dengan hati dan itu adalah selemah-lemah iman." Jadi mereka yang tiada kuasa ini hanya mampu mencegah kegiatan-kegiatan mungkar ini dengan lidah dan XPDC da'wah adalah salahsatu kaedah yang mereka gunakan.
Namun begitu kerajaan yang kononnya telah diberi mandat oleh rakyat dalam pilihanraya, mempunyai kemampuan untuk membenteras kemungkaran dengan kuasa yang ada pada mereka, mengapa perlu lagi menggunakan kaedah ala XPDC da'wah Pemuda Pas untuk mencegah kemungkaran khususnya dadah? Sudah tidak dapat dinafikan lagi bahawa pusat-pusat hiburan seperti pub dan disko inilah yang menjadi sarang kepada pengedaran dan pengambilan dadah, malahan kegiatan jenayah yang lain, maka sepatutnyalah dengan kuasa yang ada kerajaan menutup terus tempat-tempat sebegini dalam usaha mereka untuk membenteras kegiatan dadah dan juga kegiatan jenayah yang lain.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home