Friday, July 22, 2005

Melayu Glokal?

Assalamualaikum.

Pada perhimpunan agung UMNO kali ini telah wujud satu istilah baru iaitu glokal yang diambil dari melayu glokal yang mana istilah glokal ini adalah akronim dari perkataan global dan lokal lalu membentuk istilah baru yang dinamakan glokal. Namun di sini saya tidaklah bermaksud untuk menyentuh isu ini dari sudut kebahasaan.

Melayu glokal yang diungkapkan oleh Dato' Seri Najib Tun Razak yang juga Timbalan Presiden UMNO mengambarkan sebuah bangsa melayu yang mempunyai akar nasional dan akal internasional. Sebenarnya konsep akar nasional, akal internasional ini pernah diungkapkan oleh Dr Firdaus Abdullah semasa beliau menjadi Naib Canselor UM seketika dahulu. Jika diselami konsep glokal ini ia amatlah cantik kerana mengajak kita supaya berfikiran global dan dalam masa yang sama tidak melupakan asal usul dan jatidiri kita. Malahan dalam islam sendiri kita umat islam diseru agar tidak berfikiran jumud, berfikiran secara global namun dalam masa yang sama tidak meninggalkan asas dan prinsip akidah yang kita pegang dan dengan akar dan akidah yang kita pegang inilah yang akan memandu pemikiran kita agar tidak terpesong dari ajaran islam.

Namun ironisnya sikap kebanyakan masyarakat kita adalah bertentangan dengan konsep Melayu Glokal yang diimpikan oleh Najib ini yang mana akar mereka adalah lebih global sedangkan akal mereka masih lagi ditahap lokal. Dapat kita lihat pada hari ini penampilan masyarakat kita dengan gaya hidup yang terikut-ikut dengan budaya barat dari segi fesyen dan penampilan yang tidak dapat lagi dibezakan mereka dengan orang bukan islam. Sedangkan dari segi pemikiran mereka masih lagi sempit dalam tempurung kemelayuan mereka. Sikap-sikap negatif seperti dengki, khianat, pemalas, suka mengumpat, mengadu domba, suka memfitnah masih lagi mengelambui pemikiran dan akal mereka.

Ini semua juga adalah akibat daripada suasana persekitaran yang diwujudkan oleh kerajaan sendiri. Media-media nasional terlampau menonjolkan budaya hedonisme, gaya hidup artis yang berkiblatkan cara hidup barat yang membuatkan kebanyakan anak-anak muda ini terpengaruh dengan artis pujaan mereka sedangkan dalam masa yang sama pemikiran kritis anak-anak muda ini disekat melalui akta-akta yang menyekatkan kebebasan bersuara rakyat, media-media yang mengajak rakyat supaya berfikiran kritis juga disekat dengan begitu hebat. Akibatnya lahirlah masyarakat yang dilekakan dengan hiburan, akademi fantasia, malaysia idol dan sebagainya daripada memikirkan tentang hal-hal yang berat yang menyentuh tentang penyelewengan yang dilakukan oleh pemerintah dan inilah yang dikehendaki oleh kerajaan sebenarnya kerana jika masyarakat sedar maka akan tergugatlah survival politik mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 10:04 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter