Monday, August 07, 2006

Juara AF disambut hangat, Juara AQ disambut sunyi.

Assalamualaikum.

Awal minggu lepas apabila diumumkan juara bagi Akademi Quran, sambutannya biasa saja, tiada pun sambutan besar-besaran bagi meraikan anak muda yang telah membuktikan kemahirannya dalam membaca quran itu. Paling tidak pun beliau hanya dijemput untuk memdengarkan bacaannya pada Tilawah Quran peringkat antara bangsa

Namun bila sahaja peserta juara Akademi Fantasia diumumkan hujung minggu lepas dan kebetulan beliau berasal dari negeri terengganu maka sambutan diberikan bagaikan seorang perwira yang telah mengharumkan negeri Terengganu. Bukan sahaja rakyat Terengganu yang mengagumi kejayaan sang juara ini, malahan menteri besar Terengganu sendiri turut berbangga dengan kejayaan anak muda ini hinggakan bercadang untuk memberikan sedikit imbuhan atas kejayaan beliau mengharumkan nama negeri Terengganu.

Malahan dalam akhbar perdana siang tadi, Datuk Seri Idris Jusoh mahu melihat kemampuan Faizal mendidik dan memberi dorongan kepada remaja khususnya di negeri ini untuk mencipta kejayaan. Persoalannya adakah juara AF ini mampu untuk membawa remaja-remaja terengganu ke mercu kejayaan? Jika juara AF 3 dahulu iaitu Mawi yang mempunyai kelebihan membaca al quran dan mengalunkan azan itu pun sekarang sudah tidak boleh diharapkan lagi untuk menjadi ikon remaja, apalagi juara AF yang sekarang ini.

Dalam akhbar yang sama juga, Ketua Pemuda Umno Terengganu, Mohd Sabri Alwi, berkata bahawa kejayaan Faizal membuktikan Terengganu bakal melahirkan individu berjaya bukan saja dalam bidang akademik, pembangunan dan teknologi, malah tidak ketinggalan dalam dunia hiburan.

Jika program-program hiburan yang ternyata melalaikan itu sudah dititikberatkan bagaimanakah mungkin mereka dapat melahirkan rakyat yang cemerlang akademik, sedangkan rakyat khususnya golongan muda sudah dilalaikan dengan program hiburan, mereka lebih nampak peluang untuk jadi artis, peluang untuk melanjutkan pengajian di Akademi Fantasia lebih daripada peluang untuk melanjutkan pengajian di universiti. Kalau pun ada golongan-golongan yang terpelajar, banyaknya hanyalah mereka yang tiada idealisma perjuangan yang masih dilekakan dengan perkara-perkara yang melalaikan tanpa mengambil tahu persoalan ummah.

Jadi inilah sebenarnya Islam Hadhari Terengganu Bistari yang dilaung-laungkan oleh mereka. Yang lebih mengangung-agungkan artis lebih daripada mereka yang mahir membaca quran, jauh sekali mereka yang ingin melaksanakan tuntutan al quran.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter