Lagi perihal tentang 'ketajaman' keyboard komputer.
Assalamualaikum.
Nampaknya isu kawalan terhadap penulis laman web dan blog ini masih lagi diperkatakan bukan sahaja oleh pihak pemerintah, media-media arus perdana, malahan oleh penulis-penulis blog sendiri.
Melihat kepada respon daripada menteri-menteri kabinet dan perdana menteri sendiri terhadap blog pada akhbar hari ini, memperlihatkan kepada kita bahawa kebimbangan pemerintah terhadap kebanjiran penulis-penulis atau lidah maya ini bukan sahaja atas sebab menjaga kestabilan negara, di samping itu juga untuk menjaga survival politik mereka.
Memang dalam kenyataan mereka tidak disebutkan tentang penulisan blog yang menyentuh isu politik, namun saya percaya ianya juga mampu untuk menakut-nakutkan penulis-penulis blog berunsur politik terutama sekali yang tidak sealiran dengan pemerintah. Bak kata pepatah, "marahkan anak, sindir menantu" Penulis blog yang berunsur perkauman dan hasutan yang dimarah, penulis blog politik juga terkena tempiasnya.
Pada pemerhatian saya, mungkin ianya kebetulan atau memang hakikat, cadangan kawalan terhadap blog ini timbul sejak diletakkan webstat pada satu blog yang saya kira memang terkenal di kalangan pemilik blog dan laman-laman web alternatif. Boleh dikatakan setiap bloggersbloggers dan laman web yang berunsurkan politik meletakkan blog ini dalam pautan laman web mereka.
Statistik menunjukkan bahawa blog ini dikunjungi oleh tidak kurang daripada seribu pengunjung sehari dan pernah mencecah hingga hampir tiga ribu pengunjung dalam satu hari dan hingga ke saat ini blog ini masih menduduki tempat pertama dalam carta blog yang dianjurkan oleh sebuah laman web komuniti.
Mungkin inilah yang menyebabkan pihak pemerintah bimbang tentang sambutan kepada blog-blog yang kritis terhadap isu semasa ini. Sebelum ini mungkin pihak pemerintah menyangka bahawa masyarakat kita masih lagi dihanyutkan dengan laman-laman web yang hanya memaparkan tentang gossip artis, Siti Nurhaliza, Mawi dan sebagainya.
Namun begitu ianya hanyalah pendapat daripada pemerhatian saya. Apapun hakikatnya kebimbangan yang diutarakan oleh pemerintah pada akhbar tersebut tidak pun menyebut tentang kebanjiran laman-laman web lucah secara khusus. Sedangkan laman-laman web sebeginilah yang telah menyumbang kepada peningkatan jenayah seksual di negara kita akhir-akhir ini yang makin meruncing.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home