Wednesday, August 02, 2006

Keyboard komputer itu lebih tajam daripada mata pedang.

Assalamualaikum.

Mungkin sebelum ini anda tertanya-tanya, mengapa saya menggunakan nama Lidah Penghunus sebagai nama pena, mengapa blog ini dinamakan dengan Hunusan lidah dan apakah kaitannya lidah dengan penulisan saya ini. Sebagaimana yang telah kita maklum lidah adalah organ manusia yang berperanan sebagai alat artikulator dalam penghasilan bunyi dari rongga mulut manusia. Melalui pergerakan dan kedudukan lidah inilah akan menghasilkan pelbagai variasi bunyi sama ada ianya bunyi-bunyi vokal mahu pun konsonan.

Olahan daripada gabungan bunyi-bunyi vokal dan konsonan inilah yang akan membentuk satu kod atau lambang bagi tujuan berkomunikasi yang juga di panggil bahasa pertuturan. Di sini mungkin timbul lagi persoalan, medium yang saya gunakan adalah penulisan yang mungkin hanya melibatkan pen atau pun papan kekunci komputer, tiada kena-mengena pun dengan lidah. Apa yang perlu kita faham di sini, lidah sebenarnya adalah teras dalam komunikasi, tidak kira sama ada ianya dalam bentuk ucapan mahu pun penulisan. Ini kerana sebelum manusia menggunakan lambang atau bentuk-bentuk tulisan dalam berkomunikasi, manusia berkomunikasi melalui lidah iaitu pertuturan, mereka belum lagi tahu tentang kaedah penulisan, bukan kerana mereka buta huruf, tetapi perkataan huruf dan tulisan itu pun tiada dalam dalam kamus hidup mereka masa itu.

Hatta sebelum nabi Adam a.s turun ke dunia lagi, komunikasi berlangsung hanya secara lisan cumanya di syurga ianya disebut sebagai transindental iaitu satu fenomena komunikasi yang berbeza dengan cara kita berkomunikasi di dunia, apalagi komunikasi itu antara nabi Adam dengan Allah SWT. Dan selepas itu barulah manusia mula menemui kaedah menyampai apa yang hendak dikatakan melalui lambang-lambang bahasa, daripada hanya bentuk-bentuk lukisan gambar yang dilukis di dinding gua hinggalah ke bentuk-bentuk huruf yang ada pada masa sekarang. Kembali kepada persoalan lidah itu tadi, mungkin juga akan timbul persoalan adakah benar lidah itu boleh menghunus?

Di sini kita sedia maklum bahawa sifat menghunus itu hanya ada pada objek-objek tajam seperti pisau, pedang dan pelbagai lagi jenis senjata tajam. Setelah memahami tentang definisi lidah itu tadi maka kita sudah tentu akan maklum bahawa lidah melalui suara dan penulisan ini berperanan besar dalam membuat satu anjakan paradigma. Lidah itu lebih tajam daripada mata pena, suara rakyat adalah suara keramat, hunusan lidah itu lebih berbisa daripada hunusan keris sang pendekar, pidato dan penulisan adalah sarana bagi pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu bagi menyemarakkan kebangkitan rakyat peribumi menentang penjajahan. Kini lidah ini menjadi senjata yang ampuh yang menghunus segala kebatilan dan kezaliman pemerintah. Pada era teknologi maklumat ini pula laman web dan blog menjadi pentas dalam penyampaian suara rakyat, ianya menjadi alternatif kepada penulis-penulis yang dinafikan hak mereka untuk bersuara di media-media arus perdana. Blog umpamanya, pada masa kini telah menjadi medium penyampaian maklumat dan pemikiran yang popular bagi golongan penulis, maka tidak hairanlah jika para penulis dan yang aktif menulis di media-media cetak juga kini aktif menulis di blog mereka sendiri.

Namun begitu seperti juga pedang yang boleh digunakan untuk tujuan kebaikan, untuk mempertahankan diri dan pelbagai lagi manfaat dan boleh juga disalahgunakan untuk perkara yang mendatangkan kemudaratan, melakukan kekejaman dan sebagainya. Lidah menerusi penulisan juga boleh disalahgunakan untuk menimbulkan perpecahan, menyemarakkan persengketaan, hanya dengan lidah sahaja boleh berlaku perperangan. Apatah lagi pada era teknologi maklumat tanpa sempadan ini, maklumat begitu pantas menyelinap ke segenap penjuru masyarakat.

Kalau tidak masakan Kementerian Penerangan dalam akhbar siang tadi mencadangkan agar diadakan kawalan terhadap penulisan di laman-laman web dan blog agar ianya tidak menimbulkan perpecahan dan perbalahan terutamanya yang menyentuh sentimen perkauman dan agama. Di sini saya amat bersetujulah agar penulisan-penulisan yang menyentuh tentang sensitiviti sesuatu agama dan kaum itu di kawal dan yang paling perlu dibenteras ialah laman-laman web lucah yang banyak merosakkan remaja. Cuma apa yang dirisaukan pada cadangan ini, jika ISA dahulu tujuannya untuk membenteras kegiatan-kegiatan subversif tetapi telah disalahkan gunakan pemerintah untuk survival politik mereka, dikhuatiri perlaksanaan kawalan terhadap laman web dan blog ini nanti juga akan disalahgunakan pihak pemerintah untuk menyekat suara-suara yang tidak sealiran dengan mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 12:06 AM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter