Saturday, August 05, 2006

Mengapa agaknya rejim Zionis berminat sangat untuk berdialog dengan Malaysia?

Assalamualaikum.

Dalam pada dunia khususnya dunia islam mendesak agar rejim Zionis menghentikan serangan ke atas Lubnan dan mengadakan gencatan senjata, tiba-tiba duta Israel di Singapura mempelawa Malaysia dan Indonesia untuk mengadakan dialog bagi menyelesaikan konflik di Asia Barat. Namun mujurlah pelawaan zionis ini telah ditolak dengan kerasnya oleh kerajaan Malaysia.

Yang menjadi persoalannnya, apakah agaknya sebab wakil kerajaan Zionis ini berminat untuk berdialog dengan Malaysia dalam isu ini? Adakah mungkin kerajaan Zionis masih lagi terkenang akan jemputan kerajaan malaysia ke atas pasukan kriket Israel untuk beraksi di negara ini pada tahun 1995 dahulu? yang juga menyaksikan demonstrasi menghalau kehadiran mereka oleh pembangkang telah dipatahkan sendiri oleh kerajaan melalui penangkapan dan membawa kepada terpenjaranya ketua pemuda Pas pada masa itu.

Atau mungkinkah kerana negara kita juga menjadi syurga bagi korporat-korporat zionis atau penyokong-penyokong mereka untuk melebarkan sayap ekonomi mereka? Kita sudah sedia maklum bahawa tidak kurang banyaknya juga syarikat-syarikat atau pengeluar barangan yang secara tidak langsung menyumbang kepada ekonomi Zionis ini bertapak di negara kita.

Atau pun, kerana salah satu agenda Zionis sedang berjalan dengan pesatnya di negara kita iaitu penyuburan unsur-unsur hiburan yang melalaikan yang bertentangan dengan Islam. Ini memang kita tidak boleh nafikan lagi kerana hampir kesemua program-program hiburan melampau yang terdapat di negara barat sudah pun ditiru dan dijadikan program hiburan di negara kita. Dan yang terbaru, di kala kita meratapi penderitaan saudara-saudara kita di Lubnan, di negara kita masih lagi boleh mengadakan karnival Jom Heboh yang lebih menonjolkan hiburan dan pesta. Malam minggunya pula rakyat Malaysia disajikan dengan peringkat akhir Akademi fantasia yang ternyata berjaya melalaikan rakyat daripada mengambil tahu isu-isu yang penting.

Jadi mungkin sebab itulah agaknya kerajaan Zionis ini lebih selesa untuk mengadakan dialog dengan kerajaan Malaysia. Wallahu 'alam.

posted by Lidah Penghunus @ 5:23 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter