Friday, August 11, 2006

Lagi-lagi kisah Khairy di muka hadapan.

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini, lagi kisah naib ketua pemuda Umno, Khairy Jamaludin dijadikan tajuk utama muka hadapan akhbar perdana. Kali ini, berkisar tentang kesediaan pemuda Umno untuk beri ruang kepada Khairy untuk bersuara menjawab segala tuduhan dalam mesyuarat-mesyuarat pemuda bahagian yang dirasmikan.

"Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Khairy sebelum ini tiada ruang untuk menjawab segala tuduhan berkenaan dan sebab itu saluran mesti disediakan untuk beliau menjelaskannya.“Adalah penting bagi Pemuda Umno memberi ruang kepada Khairy menjawab segala tuduhan itu kerana jika ia berlarutan tanpa penjelasan, maka akhirnya ia dipercayai walaupun tidak benar"

Perenggan berita di atas ini menggambarkan kepada seolah-olah sebelum ini Khairy tidak ada tempat untuk menjawab tuduhan, dinafikan hak dalam akhbar dan media untuk bersuara, tiada tempat untuk mengadu. Sedangkan apa yang kita lihat selama ini, hatta sebelum timbulnya tuduhan-tuduhan berkenaan, Khairy sering mendapat liputan di akhbar-akhbar dan TV.Misalnya dalam mempromosikan projek My Team, Halal Journal, yang lebih menonjol adalah Khairy selaku timbalan ketua pemuda. Hinggakan kita keliru siapa sebenarnya ketua pemuda Umno.

Sebelum ini juga kita telah saksikan bagaimana dalam usaha pemuda Umno untuk menjuarai isu keganasan rejim Zionis, wujudnya pertikaian antara Khairy dan Hisyamudin tentang kaedah demonstrasi, namun akhirnya isu ini telah dimenangi oleh Khairy apabila beberapa siri demonstrasi telah dianjurkan oleh pemuda Umno dan dalam demonstrasi ini juga Khairy juga yang ditonjolkan sebagai penggerak kepada demonstrasi pemuda Umno.

Jadi sepatutnya Khairy tidak perlu lagi untuk bersandiwara bertujuan untuk menarik simpati orang ramai. Yang perlu Khairy lakukan sekarang ini, beliau perlu menyahut cabaran ketua pemuda Pas, YB Salahuddin Ayub agar bersumpah mengikut cara yang diajar oleh Islam dalam usaha beliau untuk membersihkan dirinya daripada tuduhan-tuduhan berkenaan.

posted by Lidah Penghunus @ 1:26 AM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter