Wednesday, August 09, 2006

Semalam Khary, hari ini Pak Lah.

Assalamualaikum.

Terlebih dahulu kita telah menyaksikan liputan yang dikira agak luas kepada menantu kepada Khairy Jamaludin dan hari ini giliran bapa mertuanya pula iaitu perdana menteri yang diberi liputan meluas oleh akhbar perdana.

Jika diikutkan sebenarnya tidak perlu untuk kita mengulas tentang penjelasan perdana menteri ini kerana asalnya yang menimbulkan isu dan tuduhan-tuduhan ini adalah daripada bekas perdana menteri sendiri iaitu Tun Dr Mahathir, bukannya daripada pembangkang khususnya Pas, cumanya dalam hal ini atas nama kepentingan rakyat, pembangkang kena juga ambil perhatian dan menilai jawapan-jawapan daripada perdana menteri sebagai maklum balas kepada persoalan-persoalan yang diutarakan oleh bekas perdana menteri.

Cuma apa yang ingin saya ulas di sini, daripada apa yang kita lihat daripada jawapan-jawapan dan penjelasan Pak Lah ini, menggambarkan bahawa beliau adalah seorang perdana menteri yang begitu prihatin terhadap kebajikan rakyat dan ingin melihat kepada kesejahteraan rakyat. Sedangkan pada masa beliau menjadi perdana menterilah, harga minyak naik hingga ke 30 sen, tarif elektrik naik 10 peratus, bekalan gula kurang di pasaran, yang seterusnya mengakibatkan beberapa harga barang keperluan naik.

Dalam penjelasan Pak Lah itu juga seolah-olah menggambarkan bahawa anak menantunya suci daripada gejala kronisme dan nepotisme, menafikan peranan menantunya dalam mempengaruhi keputusan kerajaan. Sedangkan Pak Lah baru beberapa tahun menjadi PM anaknya sudah pun bergelar jutawan, adakah mungkin anaknya itu boleh mendapat perniagaan yang bernilai jutaan ringgit jika bapanya bukan perdana menteri atau menteri kabinet? Jika benar Khairy tidak mempunyai pengaruh dalam pentadbiran negara, bagaimana boleh beliau mendapat liputan yang luas dalam akhbar perdana setaraf dengan perdana menteri? Adakah beliau boleh mendapat keistimewaan yang sebegitu jika beliau bukan menantu PM?

Di akhir-akhir penjelasan Pak lah mengatakan bahawa jawatan perdana menteri ini adalah fardu kifayah dan semasa menjadi perdana menteri inilah beliau gunakan untuk melakukan amal soleh. Benarkah beliau sudah menunaikan tanggungjawab fardu kifayahnya sebagai perdana menteri, benarkah Pak Lah mengambil kesempatan daripada jawatannya ini untuk melakukan amal soleh? Sedangkan pada zaman pemerintahan Pak Lah, undang-undang Islam belum lagi terlaksana dengan sepenuhnya, tuntutan amal maaruf nahi mungkar belum lagi terlaksana sepenuhnya, Perkara-perkara maksiat masih lagi diberikan lesen, hiburan-hiburan melampau yang pelbagai jenis tumbuh bagai cendawan.

Pada zaman Pak Lah sebagai perdana menterilah, kumpulan-kumpulan anti Islam, IFC, Artikel 11 dan sebagainya berani mencabar ketuanan islam, kumpulan-kumpulan islam liberal berani mencabar ulama'-ulama' yang menyatakan kebenaran dan akibatnya pada era Pak Lah sebagai perdana menterilah keruntuhan akhlak semakin meruncing, kes-kes jenayah makin menjadi-jadi dan makin membimbangkan. Itu belum lagi sebut tentang salah guna kuasa menteri-menteri kabinet, menteri-menteri besar, wakil-wakil rakyat, penyelewengan projek-projek kerajaan yang berlaku pada zaman Pak Lah memerintah dan ada menteri-menteri yang ternyata korup ini masih lagi disimpan oleh Pak Lah untuk menjayakan RMK9

Banyak lagi sebenarnya perkara-perkara yang boleh kita sebutkan dan persoalkan di sini. Namun begitu selebihnya saya serahkan kembali kepada kebijaksanaan tuan-tuan untuk menilai tentang kepemimpinan Pak Lah selaku perdana menteri yang juga bapa mertua kepada Khairy ini.

posted by Lidah Penghunus @ 12:46 AM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter