Saturday, November 18, 2006

Berkenaan hari terakhir perhimpunan agung Umno.

Diminta letak jawatan kerana tidak bersungguh-sungguh martabatkan Islam Hadhari.
Hari terakhir perhimpunan agung Umno semalam Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin telah diminta untuk meletakkan jawatannya sebagai menteri penerangan kerana dikatakan gagal memartabatkan Islam Hadhari.

Ketika membahaskan usul Agama dan Sosial pada Perhimpunan Agung Umno, beliau mempersoalkan tindakan Zainuddin memendekkan tempoh siaran program agama di Klasik Nasional yang disifatkan tidak selari dengan usaha kerajaan menerapkan konsep Islam Hadhari di semua peringkat."Kalau tengok, radio Malaysia dulu program agama mulai jam 6 petang hingga 8 malam berikutan Kabinet menyerahkan dua jam kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Berita Harian - 18 November 2006.

Bagi saya tidak guna jika disiarkan rancangan berbentuk agama hingga 3 jam sekalipun di RTM jika waktu yang sama stesyen TV swasta yang lain termasuklah juga stesyen RTM milik kerajaan sendiri menyiarkan bentuk-bentuk hiburan yang jelas bercanggah dengan Islam, melalaikan serta lebih mengagung-agungkan kehidupan artis yang tidak bermoral. Ini jelas seperti yang diperkatakan oleh seorang wakil puteri Umno;

Wakil Pergerakan Puteri UMNO, Siti Azizah Omar berkata, beliau keliru kerana garis panduan itu hanya mencakupi penyiaran dan penerbitan berunsur Islam, sedangkan orang Islam masih bebas melihat, menonton dan membaca bahan dan program yang tidak berunsur Islam.
Katanya, tidak guna kerajaan menghabiskan banyak wang mengadakan pelbagai kempen termasuk budi bahasa dan kesedaran, sedangkan media cetak dan elektronik tidak bersama-sama memainkan peranan meningkatkan kesedaran rakyat. Utusan Malaysia - 18 November 2006.


Sebut juga tentang kempen kesedaran oleh wakil puteri Umno di atas ini saya tertarik dengan satu kempen yang disiarkan oleh RTM iaitu menggalakkan anak-anak belajar tiga Jam sehari. Persoalannya adakah kempen ini akan berjaya sedangkan kita lihat program hiburan di semua stesyen TV di negara ini hampir 24 jam. Tambahan lagi jika kita teliti program-program agama yang disiarkan juga seolah-olah melepaskan batuk di tangga apabila masa siarannya bukan waktu perdana tetapi pada tengah malam, waktu-waktu hampir senja dan awal pagi.


Cegah kemungkaran hanya untuk bersaing dengan Pas.
Abdullah turut mengingatkan bahawa tugas menghapuskan kemungkaran adalah tanggungjawab bersama seperti terkandung dalam hadis Nabi.
Beliau juga mahu orang Umno menjadi `hero' mempertahankan agama dan maruah umat Islam, bukannya tugas Pas atau parti pembangkang lain. Berita Harian - 18 November 2006.

Jika dahulu kita dengar salah seorang pemimpin mengatakan bahawa Umno melaksanakan Islam khususnya Islam Hadhari untuk bersaing dengan Pas yang memperjuangkan Islam dan sikap memperalatkan Islam untuk kepentingan politik ini ditegaskan lagi melalui ucapan Pak Lah semalam.

Adalah lebih molek jika Pak Lah selaku presiden Umno dan juga perdana menteri menyeru agar ahli-ahli Umno berganding bahu dan bekerjasama dengan Pas dan pertubuhan Islam yang lain dalam usaha mempertahankan Islam serta mencegah kemungkaran.


Ahli digesa perjuangkan bahasa dan jawi tetapi isu Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris tidak mendapat perhatian.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang juga Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (Kekwa), Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata setiap bahagian dan cawangan perlu memainkan peranan memartabatkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi dengan menggunakannya dalam program dianjurkan."Masalah kita bangsa Melayu ialah tidak membudayakan bahasa dan tulisan kita. Kalau bukan kita memperjuangkannya, siapa lagi? Berita Harian - 18 November 2006.

Hari pertama perhimpunan agung tempoh hari wakil Johor telah mengemukakan kebimbangan mereka terhadap perlaksanaan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris yang telah mendatangkan masalah kepada pelajar. Namun begitu adalah sesuatu yang amat menyedihkan apabila isu berkenaan tidak pun mendapat perhatian daripada sidang perwakilan termasuklah presiden sendiri.

Mungkin mereka menganggap Bahasa Melayu ini hanya layak digunakan di majlis-majlis peringkat Umno cawangan sahaja sedangkan pada perhimpunan agung ini kelihatannya ramai juga yang tidak memartabatkan Bahasa Melayu.


Penutup dan kesimpulan.
Demikianlah tadi perhimpunan agung bagi sebuah parti melayu yang berakhir semalam. Walaupun tidak mengikuti sepenuhnya, hanya melalui media sahaja tetapi apa yang saya perhatikan ada juga sebenarnya perkara-perkara baik yang disentuh oleh perwakilan misalnya kebimbangan tentang penubuhan IFC, keruntuhan moral, pengaruh negatif siaran TV, isu bahasa dan pelbagai lagi.

Cuma persoalannya sekarang selepas perhimpunan ini adakah apa yang mereka perkatakan, yang mereka laung-laungkan, jerit-jeritkan semasa perhimpunan hampir empat hari yang lalu akan terus dipegang, dilaksanakan dan diambil tindakan terutama sekali oleh pimpinan negara? Atau perhimpunan hanya tinggal perhimpunan.

posted by Lidah Penghunus @ 11:04 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter