Monday, November 20, 2006

Berkenaan pasca perhimpunan agung Umno 2006

Cadangan untuk tidak menyiarkan perhimpunan agung Umno secara langsung.
Berita TV hari ini saya telah mendengar cadangan yang akan dibawa ke mesyuarat MT Umno agar perbahasan perhimpunan agung Umno tahun hadapan tidak disiarkan secara langsung di kaca TV. Cadangan tersebut dibuat ekoran daripada ucapan-ucapan perwakilan pada perhimpunan yang lalu yang didakwa telah menyinggung serta menimbulkan ketakutan kepada parti komponen serta masyarakat bukan Melayu di negara ini.

Sepatutnya sebagai sebuah parti yang kononnya pemimpin bagi parti-parti komponen yang lain mereka seharusnya lebih tegas dalam mengawal perilaku ahli-ahli sidang perhimpunan lebih-lebih lagi dalam menyusun kata-kata ketika berucap. Tambahan lagi mereka adalah perwakilan yang terpilih telah melalui proses pemilihan di peringkat mesyuarat bahagian, mereka lebih beruntung daripada bekas presiden mereka ialah Tun Dr Mahathir yang tidak terpilih, seharusnyalah mereka ini benar-benar faham tentang adab-adab berucap, faham tentang sensitiviti sesuatu isu.

Nampaknya jelaslah di sini bahawa Pas sebuah parti yang selama ini dianggap memberi ancaman kepada kaum bukan Melayu di negara ini tidak pernah pun siri-siri muktamarnya menyinggung perasaan serta menimbulkan ancaman kepada kaum-kaum lain di negara ini. Jika Pas menimbulkan isu murtad dan IFC ianya hanyalah membabitkan pihak-pihak atau pertubuhan yang terbabit dengannya.


Permohonan KIMMA untuk jadi parti komponen BN ditolak.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Kamaruddin Ambok berkata, KIMMA perlu menerima hakikat bahawa peluang pertubuhan itu untuk menjadi sebuah parti politik semakin sukar memandangkan BN kini mempunyai 14 parti komponen termasuk UMNO.
Beliau sebaliknya mencadangkan KIMMA menjadi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bagi meneruskan perjuangannya membela nasib kaum India muslim di negara ini. Utusan Melayu - 20 November 2006.


Mungkinkah ini menandakan bahawa BN sebenarnya tidak sanggup lagi untuk menampung bilangan-bilangan parti-parti komponen BN yang pelbagai latar dan ragam ini? Kerana selama ini pun kita telah saksikan pelbagai isu dan pertikaian telah timbul antara parti-parti dalam BN ini dan ianya lebih jelas lagi dalam perhimpunan agung Umno yang baru berlalu.

Rasanya KIMMA pun tidak perlulah terhegeh-hegeh untuk menyertai parti berlambang dacing yang berat sebelah ini kerana sudah jelas Umno sendiri pun gagal membela bangsa Melayu, pertikaian sering wujud di kalangan parti komponen yang memperjuangkan kaum masing-masing ini dan tidak sepatutnyalah KIMMA menjerumuskan diri dalam konflik yang mereka hadapi sekarang ini. Adalah lebih baik mereka menumpukan kepada perjuangan membela komuniti mereka melalui saluran NGO. Kerana saya percaya tidak semua kaum India-Muslim dalam KIMMA ini menyokong Barisan Nasional.


Cadangan untuk menggabungkan PPP dan Gerakan.
Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas mencadangkan supaya PPP dan Gerakan bergabung bagi mempercepatkan hasrat kerajaan untuk mewujudkan bangsa Malaysia.
Menurutnya, gabungan itu boleh memberi peluang penyertaan lebih luas kepada semua kaum dan tidak hanya bertumpu perjuangan menjaga kepentingan satu kaum sahaja.
“Perbincangan boleh dilakukan selepas April ini, tetapi jangan kacau kerusi saya di Taiping,” katanya tanpa menjelaskan rasional di sebalik tarikh yang ditetapkan itu. Utusan Malaysia - 20 November 2006.

Jika benar-benar mereka ingin bergabung membentuk parti yang matlamatnya adalah bangsa Malaysia, bukan kaum, bagaimana pula parti-parti yang memperjuangkan kaum masing-masing seperti Umno, MCA dan MIC? Adakah mereka juga harus bergabung? Atau adakah gabungan daripada PPP dan Gerakan ini harus keluar daripada BN untuk memperjuangkan agenda bangsa Malaysia mereka?

posted by Lidah Penghunus @ 5:38 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter