Tabiat anggota polis berbelanja dipantau. Menteri dan wakil rakyat bagaimana?
Assalamualaikum.
Dalam menangani gejala rasuah yang menjadi-jadi terutamanya di kalangan angota polis, akhbar hari ini KPN mengarahkan ketua polis daerah memantau cara berbelanja dan gaya hidup kira-kira 80,000 anggotanya di seluruh negara dalam usaha memastikan mereka bebas daripada gejala rasuah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (gambar), berkata anggota yang dikenal pasti berbelanja melebihi kemampuan sehingga menimbulkan keraguan terhadap sumber pendapatan mereka akan disiasat.
Katanya, sebagai permulaan kepada usaha itu, semua anggota polis yang gagal mengisytiharkan harta mereka akan diberi surat tunjuk sebab atau menghadapi risiko dikenakan tindakan disiplin. Berita Harian - 4 November 2006.
Kita menyambut baiklah langkah KPN yang terbaru ini dalam usaha memerangi rasuah di kalangan anggota beliau. Kerana sudah jelas selain daripada gaji yang rendah serta kos hidup yang tinggi perbelanjaan serta gaya hidup yang mengikut nafsu, melebihi daripada kemampuan pendapatan juga adalah faktor yang membawa kepada amalan rasuah. Dalam isu gaji polis yang rendah kita sudah lihat usaha KPN sebelum ini menuntut kenaikan gaji anggota polis. Tetapi dalam hal perbelanjaan dan gaya hidup yang menurut nafsu rasanya langkah berkenaan mungkin adalah yang terbaik.
Dalam hal memerangi rasuah ini kita juga mahu menteri-menteri kabinet, exco-exco kerajaan negeri dan wakil rakyat dipantau perbelanjaan dan gaya hidup mereka yang memboleh menjerumuskan mereka ke kancah rasuah. Seperti kata Dato' Seri Najib, "ubahlah gaya hidup"
Bukan lagi rahsia bahawa ada antara menteri-menteri dan wakil rakyat ini yang berbelanja begitu mewah melebihi daripada pendapatan mereka. Yang paling jelas baru-baru ini ialah soal pembinaan rumah seorang Adun Selangor yang kos pembinaannya jika dikira tidak tercapai oleh elaun yang diperolehinya sebagai wakil rakyat biasa.
Seharusnya wakil-wakil rakyat sebeginilah yang harus disiasat, diminta mengisytiharkan harta mereka. Tetapi apa yang lebih mengecewakan apabila perdana menteri sendiri pun enggan untuk mengisytiharkan harta ketika diminta berbuat demikian.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home