Wednesday, January 24, 2007

Lagi berkenaan pilihanraya kecil Batu Talam.

Assalamualaikum.

Semalam saya ada menyebut tentang kerisauan BN tentang kemerosotan peratus keluar mengundi di Dun Batu Talam. Hari ini ianya dilihat begitu ketara malahan BN dilihat semakin menggelabah dengan tindakan serta kempen boikot pilihanraya oleh Pas dan PKR ini.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, tindakan Pas berceramah dan menggesa ahlinya tidak keluar mengundi dengan harapan mahu mengurangkan undi majoriti BN, adalah sesuatu yang tidak beretika.
“Jika mereka (Pas) cakap tak mahu mengambil bahagian dalam pilihan raya ini dan mahu memboikotnya, maka kita minta mereka boikot dalam erti kata sebenarnya.
“Tetapi apa yang berlaku sekarang sebaliknya. Mereka kata nak boikot tapi buat ceramah dan menggesa rakyat jangan keluar mengundi, supaya BN gagal mendapat undi majoriti dan kemudian menempelak kita kerana kegagalan itu. Berita Harian - 24 Januari 2007.

Saya agak keliru dengan kenyataan Datuk Seri Najib yang mengelabah tak tentu pasal ini, jika Pas buat ceramah minta rakyat jangan keluar mengundi ianya memang benarlah Pas memboikot pilihanraya berkenaan malahan itulah boikot dalam erti kata yang sebenarnya iaitu mengajak rakyat bersama-sama dalam tindakan boikot ini. Di sini Najib, BN dan budak suruhan mereka harus faham, jika Pas menyertai pilihanraya, bertanding di sesuatu Dun atau Parlimen maka ia akan berkempen kepada rakyat agar turut menyertai pilihanraya dengan mengundi calon mereka.

Samalah juga dengan Pas yang memboikot pilihanraya Batu Talam ini, sudah tentulah parti berkenaan akan turun berkempen kepada rakyat khususnya pengundi di Dun berkenaan agar turut serta dalam pemboikotan ini. Kerana sesuatu kempen boikot pilihanraya itu akan lebih berjaya jika disertai oleh parti politik bersama-sama dengan pengundi. Di sini juga tidak benarlah dakwaan bahawa Pas menghalang atau memaksa pengundi agar tidak keluar membuang undi. Pas dan PKR tidak ada kuasa sebenarnya untuk menghalang mana-mana pihak untuk keluar mengundi atau mengundi sesiapa sahaja. Yang dilakukan oleh Pas sekarang ialah memberi penerangan kepada masyarakat di Batu Talam tentang kecurangan yang berlaku dalam SPR serta mengajak mereka bersama-sama memboikot pilihanraya berkenaan.

Sepatutnya jika BN yakin bahawa mereka dipihak benar, mereka tidak perlu gelabah dengan kehadiran pemimpin-pemimpin Pas di Dun berkenaan, apa yang harus mereka lakukan ialah terus berkempen untuk memenangkan calon mereka. Pas walaupun tidak bertanding di Dun Batu Talam tetapi mereka berhak untuk berada di mana-mana sahaja kawasan Dun atau Parlimen.

posted by Lidah Penghunus @ 11:41 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter