Tuesday, January 09, 2007

SPR perlu dirombak secara drastik - Pengerusi.

Assalamualaikum.

Setelah hampir 3 tahun berlalu pilihanraya umum ke-11 iaitu pilihanraya terburuk dalam sejarah dan kini dijangka kurang dua tahun lagi akan menjelma pilihanraya umum ke-12, akhbar hari ini pengerusi SPR Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman mencadangkan agar diadakan rombakan besar-besaran terhadap SPR dan juga ditubuhkan suruhanjaya bebas bagi mengkaji semula undang-undang dan peraturan pilihan raya serta penstrukturan semula SPR.

Kajian semua itu bertujuan menjadikan SPR dan proses pilihan raya yang sering dikritik pelbagai pihak, menjadi lebih telus, adil dan saksama kepada semua parti politik dan rakyat negara ini.
“Orang sekarang lebih pandai, negara juga dah moden. Orang bertanya kenapa tidak boleh dibuat pilihan raya yang lebih telus,”
Bagi tujuan itu, tegas Ab. Rashid, satu suruhanjaya bebas yang dianggotai pakar undang-undang, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik perlu dibentuk bagi mengemukakan cadangan penambahbaikan tersebut. Utusan Malaysia - 9 Januari 2007.

Di sini saya menyambut baiklah pengakuan diikuti dengan cadangan yang dikemukakan oleh pengerusi SPR sendiri lebih-lebih lagi dalam soal penubuhan suruhanjaya bebas. Sebenarnya perkara-perkara yang disebut itu telah lama dilaungkan oleh parti-parti pembangkang yang selama ini menjadi mangsa kepada ketidakadilan yang berlaku setiap kali pilihanraya.

Cumanya alangkah baik jika cadangan ini dikemuka sebaik sahaja selesai pilihanraya umum yang ke-11 2004 yang lalu dan jika ianya diterima sudah tentu sekarang ini kita telah bersedia untuk menghadapi pilihanraya kecil Batu Talam dan juga pilihanraya umum ke-12 dalam suasana yang bersih.

Walau bagaimanapun sama-sama kita tunggu adakah cadangan Tan Sri Ab. Rashid ini akan diterima oleh kerajaan lebih-lebih lagi berkenaan enam perkara yang dikemukakan itu yang selama ini melibatkan parti pemerintah sendiri;

Beliau juga menggariskan enam kuasa yang tidak wujud pada SPR yang menjadi punca kelemahan badan itu pada masa ini, iaitu:
* Kuasa menentukan penubuhan parti politik dan menjamin kebebasan mengambil bahagian bila-bila masa dalam pilihan raya.
* Kuasa mengawal semua keadaan pada musim berkempen.
* Kuasa mengatur keadilan dan kebebasan melapor bagi semua media cetak dan elektronik.
* Kuasa mengawal dan menghukum pihak yang menyalahgunakan kemudahan awam untuk berkempen.
* Kuasa menentukan keadilan dalam hal-hal berkaitan dengan pembiayaan kewangan untuk kempen parti.
* Kuasa mengawal dan mencegah rasuah dan aktiviti membeli undi dalam musim pilihan raya.

Utusan Malaysia - 9 Januari 2007.

Akhir sekali sebagai membuktikan keikhlasan pengakuan serta cadangan Tan Sri Rashid itu maka langkah yang pertama beliau perlulah meletakkan jawatan, berundur dan memberi peluang kepada mereka yang lebih layak yang dilantik secara telus.

posted by Lidah Penghunus @ 9:59 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter