Wednesday, December 27, 2006

Lagi berkenaan Majlis Perbandaran Klang.

Assalamualaikum.

Nampaknya akhir-akhir ini isu yang melibatkan Majlis Perbandaran Klang terus berkumandang di akhbar seolah-olah menjadi penutup bagi tahun 2006. Bermula daripada kes banglo Dato' Zakaria, skandal perlantikan ahli majlis dan kelmarin timbul pertikaian atas perlantikan Chandran Subramaniam sebagai ahli Majlis Perbandaran Klang bagi menggantikan bapanya, Subramaniam Sangapillai yang tidak boleh lagi memegang jawatan itu kerana diisytiharkan muflis beberapa bulan lalu. Akhbar hari ini pula dipaparkan tentang operasi perobohan gerai di Jalan Pandamaran oleh MPK atas dakwaan beroperasi tanpa lesen dan tidak mendapat hak milik tanah sementara atau TOL.

Apa yang menjadi persoalan di sini jika kita lihat berita TV pukul 8 malam tadi, peniaga-peniaga mangsa perobohan yang ditemui dengan jelas menunjukkan bahawa perniagaan mereka dijalankan dengan berlesen serta memiliki TOL. Apa yang dapat kita saksikan juga ialah insiden 'tolak-menolak' antara pegawai perancang dan bandar dengan pegawai daerah Klang. Yang nyata kedua-dua pegawai yang terbabit ini gagal memberikan penerangan yang meyakinkan tentang isu ini.

Berkenaan alasan bahawa perobohan tersebut kerana kesalahan berniaga di kawasan zon penampan dan rizab jalan pula, di sini saya tidaklah ingin untuk menyebutnya sebagai double standard kerana dalam berita akhbar itu juga awal-awal lagi telah disebut tentang perobohan Gerai DZ Satay House milik Dato' Zakaria sebulan yang lalu mungkin sebagai bukti bahawa kerajaan tidak double standard dalam mengambil tindakan. Namun sebenarnya tetap wujud double standard kerana operasi merobohkan gerai sate milik Adun Pelabuhan Klang itu dibuat hanya setelah ianya didedahkan oleh pembangkang di Dun Selangor. Ini jelas seperti dinyatakan oleh pegawai daerah Kelang sendiri yang dipetik daripada akhbar Berita Harian bertarikh 24 November 2006;

Mengenai kemungkinan ia tidak dirobohkan jika tidak didedahkan media masa, Bakhtiar berkata, ia akan kekal kerana binaannya cantik di kawasan berkenaan. Berita Harian - 24 November 2006.

Sedangkan gerai milik orang awam sendiri tidak perlu didedahkan atau dilaporkan oleh pembangkang atau media masa, mereka sendiri akan mencari peniaga-peniaga kecil yang didakwa melakukan kesalahan dan akan merobohkan gerai-gerai mereka ini dengan rakusnya.

posted by Lidah Penghunus @ 11:32 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter