Tempoh hari Yang Dipertuan Agung, kini sultan Selangor pula.
Assalamualaikum.
Tempoh hari saya ada menyebut tentang titah seri paduka yang dipertuan agung yang menyentuh tentang menteri-menteri kabinet dan juga ahli parlimen yang sekaligus memberikan gambaran tentang kelemahan menteri-menteri kabinet serta ahli parlimen bawah pimpinan Pak Lah. Akhbar hari ini dalam titah sempena hari keputraannya sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi menegur malahan menyatakan rasa kecewa baginda terhadap wakil-wakil rakyat di negeri Selangor yang cenderung bekerja untuk kepentingan diri, kelompok atau puak mereka sahaja.
“Beta tidak mahu mereka menyalah guna kuasa dan beranggapan boleh berbuat sesuka hati tanpa takut melanggar undang-undang atau seolah-olah mereka kebal daripada dikenakan tindakan,”
“Tiada guna dilaungkan Selangor itu maju, mempunyai bangunan cantik dan kilang perusahaan yang besar jika kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat belum sampai ke tahap memuaskan. Berita Harian - 12 Disember 2006.
Jika begitulah titah yang diberikan pada pandangan saya ianya sebenarnya bukan sahaja ditujukan kepada wakil-wakil rakyat di bawah Khir Toyo, lebih daripada itu ianya sebenarnya adalah isyarat kepada rakyat negeri Selangor agar membuat perubahan dalam pilihanraya akan datang dengan menolak wakil-wakil rakyat yang dimaksudkan. Kerana jika sultan sendiri pun sudah jelak dengan kelakuan mereka maka apatah lagi kita rakyat yang di bawah pentadbiran mereka. Berkenaan titah baginda sultan di bawah ini pula;
Pada masa sama, baginda menitahkan semua penduduk dari negeri lain yang berhijrah ke sini supaya tidak membawa gejala negatif hingga menimbulkan masalah di negeri ini.
“Beta tidak menghalang sesiapa pun datang ke Selangor untuk mencari rezeki tetapi jika menimbulkan masalah, pihak berkuasa akan dititah untuk mengambil tindakan keras,” Berita Harian - 12 Disember 2006.
Apa yang hendak saya perkatakan di sini sebenarnya persekitaran negeri Selangor itu sendiri juga menjadi penyebab kepada meresapnya budaya negatif terhadap mereka yang berhijrah di negeri Selangor ini. Ikutkan kebanyakan mereka yang berasal daripada desa ini pada mulanya adalah baik akhlaknya. Namun begitu dengan persekitaran negeri Selangor yang penuh dengan maksiat yang banyaknya diberi lesen oleh kerajaan negeri maka mereka yang baru datang dari kampung ini mengalami kejutan budaya dan terus hanyut dengan budaya yang negatif ini. Ini ditambah pula dengan himpitan kos sara hidup yang tinggi di negeri maju ini maka tidak hairanlah mewabaknya pelbagai penyakit sosial di Selangor ini.
1 Comments:
Ya.
Kadang2 yg dtg ke selangor baik2 shj. Tp sebaik melihat persekitaran mereka terkena kejutan!
Post a Comment
<< Home