Monday, December 11, 2006

Berkenaan cadangan penggabungan Utusan - NST.

Assalamualaikum.

Sentuh pula tentang cadangan penggabungan Utusan dan NST, sebagaimana yang kita telah maklum bahawa cadangan ini hanyalah hasrat dua tiga kerat pimpinan tertinggi Umno sahaja dan ianya tidak dipersetujui oleh majoriti ahli MT Umno, Adun, Senator dan juga pekerja-pekerja Utusan sendiri. Malahan semalam menantu Pak Lah sendiri, Khairy menyatakan kebimbangannya tentang cadangan penggabungannya itu. Dalam akhbar Utusan hari ini juga dipaparkan tentang kenyataan naib presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kelihatan tidak setuju dengan penggabungan tersebut;

UMNO tetap akan mempertahankan keunggulan dan sejarah kegemilangan Utusan Malaysia sebagai lidah perjuangan orang Melayu dan dalam masa yang sama mahu Kumpulan Utusan mampu bersaing dengan syarikat media lain.
‘‘Adakah melalui usaha penggabungan Kumpulan Utusan dengan New Straits Times Press (NSTP) merupakan satu jawapan atau terdapat pendekatan lain boleh dilaksanakan untuk mempertahankan keunggulan Utusan,” Utusan Malaysia - 11 Disember 2006.

Bagi saya penggabungan bukanlah sesuatu langkah yang terbaik bagi sesebuah syarikat akhbar. Memang kita dapati penggabungan adalah sesuatu kaedah bagi meningkatkan pretasi sesebuah firma. Namun begitu tidak semestinya semua firma-firma yang bergabung ini akan berjaya. Lagipun dengan adanya dua buah syarikat akhbar perdana di pasaran sebenarnya telah memberikan pilihan kepada pembaca dari segi corak persembahan akhbar masing-masing.

Cumanya dalam hasrat Umno dan kerajaan untuk memastikan akhbar yang mempunyai nilai sejarah ini terus unggul dan berwibawa mereka mestilah terlebih dahulu membebaskan kawalan mereka terhadap akhbar Utusan ini dan juga akhbar-akhbar yang lain. Biarkan akhbar-akhbar ini bebas untuk melaporkan sesuatu isu dengan telus dan adil tanpa dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu. Keadilan juga mestilah diberikan kepada pihak pembangkang terutama sekali bila tiba pilihanraya kerana pada masa pilihanrayalah maruah akhbar-akhbar perdana ini pada tahap paling rendah.

posted by Lidah Penghunus @ 12:32 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter