Thursday, December 07, 2006

Kaedah mencelup jari pengundi ketinggalan zaman ke atau demokrasi negara yang sedang ketinggalan zaman?

Assalamualaikum.

Maklum balas daripada cadangan pembangkang berkenaan perjalanan pilihanraya di negara ini, akhbar hari ini SPR menyatakan keberatannya untuk menggunakan kaedah mencelup jari pengundi ke dalam dakwat khas setelah mereka selesai mengundi atas beberapa alasan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, selain merupakan kaedah yang ketinggalan zaman, peraturan itu juga memerlukan pindaan kepada Akta Pilihan Raya 1958 atau Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Utusan Malaysia - 7 Disember 2006.

Nampaknya Tan Sri Rashid bercakap seolah-olah negara kita sudah bebas daripada akta-akta drakonian zaman penjajah yang sudah lapuk dan ketinggalan zaman dan sebagai pengerusi SPR beliau tidak sedar bahawa perjalanan pilihanraya di negara ini berada jauh terkebelakang apabila setiap kali pilihanraya wujudnya penguasaan media serta pelbagai instrumen kerajaan oleh parti pemerintah, berleluasanya rasuah politik, ugutan politik dan tidak ketinggalan pengundi hantu yang baru-baru telah berjangkit dalam pemilihan majlis peguam.

Jika dikatakan bahawa ianya memerlukan pindaan akta yang berkaitan pilihanraya, rasanya memang sedang eloklah sebab Akta Pilihanraya dan Akta kesalahan Pilihanraya pun telah dibuat pada tahun 50-an dahulu dan mungkin ianya tidak sesuai lagi untuk keadaan sekarang. Jadi dalam hal ini tidak perlulah SPR untuk berdolak-dalik kerana ianya adalah untuk memulihkan kewibawaan demokrasi di samping kewibawaan SPR sendiri yang kini telah dilihat sebagai salah satu jentera BN dalam pilihanraya.

posted by Lidah Penghunus @ 10:18 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter