Saturday, December 30, 2006

Jendela 2006.

Assalamualaikum.

Tidak berapa lama lagi 2006 akan meninggalkan kita dengan pelbagai rakaman peristiwa suka dan duka. Begitu pantas masa berlalu. Rasanya macam baru semalam saya menukilkan tajuk Jendela 2005 di blog ini. Mengimbas kembali rakaman peristiwa sepanjang 2006 ini bolehlah saya katakan bahawa tahun 2006 ini adalah tahun di mana rakyat ditimpa oleh pelbagai himpitan kos hidup yang makin meningkat. Bermula dengan kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen seliter pada 28 Febuari, kemudiaan diikuti dengan kenaikan tarif elektrik sebanyak 12 peratus berkuatkuasa 31 Mei, kenaikan tarif air sebanyak 13.7 peratus bermula 1 November yang lalu dan seterus kenaikan-kenaikan ini telah melonjakkan kenaikan harga barangan keperluan di pasaran. Bermula 1 Januari 2007 ini pula rakyat sekali lagi akan menelan kepahitan di bawah pemerintahan Barisan Nasional apabila terpaksa menanggung beban kenaikan kadar Tol sebanyak 60 peratus hingga 100 peratus.

Selain daripada itu tahun ketiga pemerintahan Dato' Seri Abdullah Ahmad badawi ini juga mencatat satu pengalaman duka bagi agama Islam di negara ini apabila kumpulan-kumpulan yang tidak senang dengan agama Islam semakin berani mencabar ketuanan Islam di negara ini secara terbuka. Paling ketara kumpulan Artikel 11 yang cuba untuk memansuhkan kuasa mahkamah syariah dan seterusnya merealisasikan penubuhan IFC iaitu satu badan sebenarnya bertujuan untuk menjalankan agenda memurtadkan umat Islam. Tidak setakat itu wujud pula kumpulan liberal yang terdiri daripada orang sendiri yang semakin lantang mempersoalkan hukum-hakam agama yang berselindung disebalik slogan hak asasi.

Bagi Pas pula 2006 ini mungkin adalah satu tahun di mana jentera penerangan Pas mendapat 'bonus' apabila bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir muncul sebagai tokoh pengkritik kerajaan yang senada dengan Pas. Dengan adanya peranan Tun Dr Mahathir ini maka Pas dapat menumpukan lebih perhatian dalam berhadapan dengan ancaman IFC, murtad dan perkara-perkara yang mengancam akidah umat Islam. Sebut juga tentang tindakan Tun mengkritik pentadbiran perdana menteri ini, ianya juga menunjukkan bahawa tahun 2006 ini juga adalah tahun getir dalam pemerintahan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri yang juga presiden Umno. Ditambah dengan perbalahan dalam parti komponen BN dan beberapa lagi insiden yang melibat Umno dan Barisan Nasional sekaligus membuktikan kepada kita betapa makin tidak terkawalnya pemerintahan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2006 ini.

Tahun 2006 ini juga menampakkan sedikit kemajuan dalam penulisan di saya blog ini apabila bermula bulan Ogos yang lalu blog Lindungan bulan ini beroperasi secara harian berbanding secara mingguan sebelumnya. Jadi harapan saya agar perkara ini dapat diteruskan pada 2007 yang akan tiba di samping mempertingkat kualiti blog ini daripada pelbagai sudut dari semasa ke semasa.

Sebut pula tentang 2007 yang akan menjelang tiba, saya percaya rata-rata akan menyebut tentang tahun di mana orang-orang politik memfokuskan tentang tarikh pilihanraya umum. Jika sebelum ini ada menjangkakan bahawa pilihanraya umum ke-12 akan jatuh pada bulan April 2007. Namun kata seorang sahabat memandang kenaikan kadar Tol bermula Januari 2007 berkemungkinan ianya tidak akan diadakan dalam masa yang terdekat. Dalam akhbar baru-baru ini juga MAFREL menjangkakan bahawa pilihanraya umum akan jatuh pada bulan November 2007. Apapun tarikhnya, di sini saya ingin mengajak tuan-tuan semua selain daripada memiliki azam tahun baru tuan-tuan sendiri. Marilah kita membuat satu azam tahun baru bersama untuk membuat perubahan dalam pilihanraya umum yang akan tiba bila-bila masa dalam rangka untuk mewujudkan sebuah Malaysia yang adil yang bebas daripada kezaliman dan penindasan. Yang pastinya pilihanraya kecil Batu Talam akan menjadi pembuka tirai iklim politik bagi 2007 ekoran kematian wakilnya.

posted by Lidah Penghunus @ 3:27 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter