Kisah PLKN di tahun 2007.
Assalamualaikum.
Kelmarin dalam berita TV dipaparkan tentang bahawa kononnya PLKN sekarang sudah makin bertambah baik dan sempurna dan dakwaan berkenaan dibuat berdasarkan pertambahan jumlah ibu-bapa yang menghantar anak mereka untuk mengikuti PLKN. Namun akhbar semalam telah melaporkan tentang masalah pengangkutan yang menyebabkan 1,432 pelatih PLKN yang sepatutnya melapor diri di kem masing-masing terpaksa pulang, manakala beribu-ribu lagi terkandas beberapa jam. Akhbar hari ini pula mendedahkan bahawa peranan orang tengah adalah punca pelatih-pelatih PLKN ini terkandas;
Masalah kewujudan orang tengah yang didakwa menjual kontrak, menjadi punca beribu-ribu pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) terkandas atau mengalami kelewatan melapor diri ke kem masing-masing, kelmarin.
Presiden Persekutuan Pengusaha Bas Sekolah Semenanjung Malaysia, Chee Ah Tey, mendakwa orang tengah ‘menjual’ kontrak itu kepada pengusaha bas selepas mengambil ‘peratus tertentu’ kontrak berkenaan.
Katanya, perbuatan orang tengah itu juga menyebabkan pengusaha bas tidak dapat menampung kos untuk mendapatkan Lesen Perubahan Sementara (LPS), kerana nilai yang diberikan kepada mereka terlalu kecil. Berita Harian - 3 Januari 2007.
Nampaknya gejala penyelewengan yang melibatkan kontrak pengangkutan pelatih PLKN membuka tirai bagi masalah-masalah ketelusan dalam negara. Hari ini semasa menguruskan kemasukan adik bongsu ke Sekolah Rendah saya dimaklumkan oleh seorang bapa bahawa wujud masalah kekurangan buku di Sekolah berkenaan dan lagi saya diberitahu bahawa di sekolah menengahnya pula ketika Sekolah sedang sibuk dengan kemasukan pelajar bagi sesi 2007, kontraktor baru sibuk hendak memasang beberapa pintu bilik darjah! Apa mereka buat selama sebulan sekolah ditutup?
Jika beginilah keadaannya mungkinkah perlaksanaan Rancangan Malaysia Ke-9 yang dibangga-banggakan oleh perdana menteri itu akan berjaya?
1 Comments:
kadangkala sakit hati melihat masalah-masalah seperti ini yang tidak sepatutnya timbul. jangan kata RMK-9 atau wawasan 2020, kejatuhan moral spt ini andai dibiar berterusan boleh menjatuhkan negara satu hari nanti. tidak patut ada lagi orang tengah yang mengaut keuntungan buta hasil titik peluh orang lain, dan tidak patut sekolah masih ada masalah kekurangan buku & melakukan pemulihan setelah sesi bermula. mereka yang mengaut untung dengan cara yang tidak halal akan dipersoal oleh Allah di Akhirat, tidakkah mereka takut? sektor pendidikan pula pada pandangan saya merupakan sektor terpenting yang perlu diutamakan oleh mana-mana kerajaan. ini kerana dasar pendidikan yang akan mencorakkan pemikiran barisan pemimpin masa depan.
Post a Comment
<< Home