Thursday, February 08, 2007

Kesedihan Pak Lah tentang sungai yang tercemar

Assalamualaikum.

Saya tertarik untuk mengulas sedikit pendedahan akhbar hari ini berkenaan sebuah sungai yang dahulunya begitu indah dan seringkali menjadi tempat bermandi-manda perdana menteri pada zaman kanak-kanaknya dan kini keindahannya lenyap dek pencemaran.

Ketika itu, kolam takungan di kaki air terjun di kampung kelahiran Perdana Menteri itu mencecah kedalaman paras dada lelaki dewasa.
Namun itu cerita lama. Perubahan masa dan ketamakan manusia menodai kehijauan alam sekitar menyebabkan keindahan air terjun itu kini hanya tinggal memori.
Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan air terjun itu hari ini mendapati walaupun alirannya masih ada, namun kedalaman kolam takungannya hanya pada paras buku lali kanak-kanak, manakala warna airnya lebih pekat daripada teh susu, selain kawasan persekitaran yang kotor.

Malahan, Abdullah sendiri pernah beberapa kali membuat teguran berhubung kualiti air sungai di negara ini dengan yang terbaru ketika melancarkan program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies Tanaman Sesuai di persisiran Pantai Negara di Pulau Sayak, Kota Kuala Muda, Kedah, Jumaat lalu.
Perdana Menteri menyuarakan rasa sakit hatinya dengan keadaan air sungai yang berubah kepada warna teh susu akibat sikap manusia membuang sampah ke dalam sungai dengan memberikan analogi: “Dulu ada ikan dan udang tetapi sekarang dua minit anak buaya pun boleh mati." Utusan Malaysia - 8 Febuari 2007.


Memanglah, dahulu semasa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih kanak-kanak mungkin belum ramai lagi insan-insan yang tamak, pemimpin-pemimpin yang korup yang hanya memikirkan soal kesenangan tanpa mempedulikan kesusahan rakyat dan kesannya kepada alam sekitar. Namun negara yang dari dahulu diperintah oleh Barisan Nasional ini makin membangun. Maka seiring dengan itu lahirlah golongan-golongan kapitalis yang tamak haloba berganding pula dengan pemimpin yang korup memeras segala kekayaan alam tanpa mempedulikan masa hadapan generasi akan datang apatah lagi nostalgia silam perdana menteri mereka. Malahan ada kalangan pemimpin di bawah Pak Lah ini yang boleh tidak tahu ada kemusnahan alam semula jadi di depan mata ataupun buat-buat tidak nampak. Maka tidak hairanlah di bawah pemerintahan BN semakin lama semakin banyak yang rosak termasuklah alam sekitar.

posted by Lidah Penghunus @ 1:08 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter