Tuesday, February 06, 2007

SPR cadang imbas cap jari sebelum mengundi.

Setelah berlangsungnya pemboikotan pilihanraya kecil yang pertama yang dibuat oleh pembangkang pada pilihanraya kecil Dun Batu Talam yang lalu barulah SPR bercadang untuk menggunakan alat pengimbas cap jari bertujuan untuk mengelakkan penipuan dalam pengundian.

Kamarulzaman berkata, SPR sedang mengkaji kesesuaian penggunaan alat pengimbas cap jari itu, terutama dari segi kos kerana ia perlu disediakan di semua tempat pembuangan undi.
Katanya, cadangan penggunaan pengimbas atau buku daftar itu sekali gus menolak syor pihak tertentu, terutama pembangkang supaya SPR menggunakan dakwat pada jari pengundi seperti diamalkan di India. Berita Harian – 6 Febuari 2007.

Sama ada teknik mengimbas atau dakwat pada cap jari yang penting bagi kita teknik-teknik berkenaan dapat menghalang daripada pihak-pihak tertentu yang dianugerahkan ‘keistimewaan’ untuk mengundi dua kali. Tetapi jika Setiausaha SPR menyebut tentang kos untuk mesin pengimbas bagi setiap tempat pembuangan undi bagi saya adalah lebih elok mereka menggunapakai saranan pembangkang iaitu dakwat pada jari pengundi seperti diamalkan di India.

Apa juga yang ingin saya sebutkan di sini cadangan SPR yang terbaru ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa tindakan boikot pilihanraya oleh pembangkang tempoh hari telah menunjukkan tanda kejayaannya. Walau bagaiamanpun itu hanyalah salahsatu daripada perkara-perkara yang dituntut oleh pembangkang berkenaan perjalanan pilihanraya dan banyak lagi perkara-perkara yang perlu ditunai oleh SPR bagi memastikan pilihanraya di negara ini berjalan secara adil antaranya yang berkaitan dengan penguasaan media, penyalahgunaan jentera kerajaan, rasuah pilihanraya dan sebagainya. Kerana jika satu itu sahaja yang dilaksanakan sedangkan perkara yang lain masih lagi tidak dilaksanakan maka ianya masih lagi belum memenuhi impian sebuah pilihanraya yang bebas dan adil.

posted by Lidah Penghunus @ 2:57 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter