Monday, April 02, 2007

Antara teguran Sultan Kelantan dan Kemurkaan Sultan Selangor.

Assalamualaikum.

Hari ini kedua-dua akhbar perdana meletakkan perihal teguran Sultan Kelantan yang bersangkutan dengan isu Lojing serta beberapa isu lain di muka hadapan akhbar mereka. Sebagaimana yang kita maklum akhir-akhir ini isu Hutan Simpanan Lojing telah dijadikan bahan propaganda BN dan Umno Kelantan untuk memburukkan kerajaan negeri. Sedangkan ianya sudah jelas adalah puterbelit fakta yang telah dimainkan oleh mereka yang diketuai oleh Dato' Seri Annuar Musa sendiri.

Namun ianya adalah teguran daripada seorang sultan sebuah negeri bagi memastikan kesejahteraan negeri yang dinaungi baginda. Sedangkan di Selangor sultannya telah pun di tahap murka dan beberapa kali memberikan teguran terhadap beberapa isu yang berkaitan dengan penyelewengan, salahguna kuasa, kelemahan PBT dan sudah semestinya isu 'Istana' Dato' Zakaria Deros.

Jika dalam teguran Sultan Kelantan semalam turut menyentuh tentang sungai-sungai yang berlumpur serta berkeladak di Negeri Kelantan, di Negeri Selangor sungainya sudah pun di tahap berbau najis. Dalam akhbar hari ini Kerajaan Negeri Selangor meletakkan kesalahan kepada syarikat pengurusan sisa kumbahan iaitu IWK sebagai punca kepada air sungai di negeri maju itu berbau najis. Jika benar pun dakwaan Dato' Seri Khir Toyo itu ianya juga memperlihatkan kepada kita satu lagi bahana penswastaan kepada rakyat.

Kembali kepada isu teguran baginda Sultan Kelantan itu tadi, bukanlah bermaksud untuk menutup isu di Kelantan apabila saya mengalihkan perhatian pembaca ke Negeri Selangor. Walau bagaimanapun teguran-teguran daripada baginda sultan itu tetap diperlu diambil perhatian oleh Kerajaan Negeri Kelantan agar tidak sampai terjadi macam Negeri Selangor.

posted by Lidah Penghunus @ 10:19 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter