Sunday, April 01, 2007

Catatan hujung minggu

CEMERLANG, GEMILANG, TEMBERANG.
Begitulah tajuk yang paling sesuai untuk berita di bawah ini

Polis akan menyoal siasat seorang anggota kumpulan pendaki negara ke Gunung Everest kerana didakwa menggunakan kad pengenalan kakak dan abang iparnya untuk tujuan menipu dengan menubuhkan 22 syarikat, termasuk membawa masuk pelajar asing ke negara ini.
Lelaki berusia 42 tahun itu yang menjadi antara rakyat Malaysia pertama tiba di puncak Everest melalui Tibet dan meletakkan Jalur Gemilang di puncak gunung itu pada 15 Mei tahun lalu, dikehendaki polis Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan dan Pendaftar Syarikat (ROC) berikutan dakwaan penipuan sejak tahun lalu.

Suspek kini berada di Kathmandu untuk misi keduanya menguasai Gunung Everest. Kami akan tahan dia sebaik kembali ke negara ini. Polis serius dengan perkara ini. Berita Minggu - 1 April 2007.

Sebagaimana yang kita maklum kerajaan begitu menyanjung dan mengiktiraf individu-individu yang berjaya mencatat rekod-rekod luar biasa dan seterusnya mengharumkan nama negara di mata dunia. Individu-induvidu sebeginilah yang memenuhi slogan cemerlang, gemilang terbilang yang sering berkumandang sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil amanah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima.

Namun rupa-rupanya mereka yang cemerlang, gemilang dan menjadi harapan negara ini juga rupa-rupanya menjadi si temberang demi kepentingan diri. Kita masih ingat lagi dahulu ketika seorang rakyat Malaysia cuba untuk mencipta sejarah berenang merentasi lautan Selat Melaka, apabila diajukan persoalan berkenaan solat individu tersebut ketika sedang berenang, salah seorang tokoh agama mereka mengatakan tidak mengapa meninggalkan solat demi mengharumkan nama negara.

Jelas di sini kerajaan kita lebih memandang kecemerlangan duniawi seseorang tanpa mengambil peduli akhlak mereka. Tidak mengapa bagaimana pun akhlak mereka yang penting mereka dapat merealisasikan slogan cemerlang, gemilang, terbilang kerajaan Barisan Nasional. Akibatnya ketika mereka sedang mencipta satu lagi kegemilangan untuk negara dalam masa yang sama mereka juga telah menjadi si temberang yang akhirnya akan memalukan negara.


BARISAN NASIONAL TERANG-TERANG PERGUNA KEMENTERIAN PENERANGAN.
Kementerian Penerangan akan memperjelaskan segala isu yang dibangkitkan pembangkang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Machap, kata Timbalan Menteri berkenaan Datuk Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab kementerian untuk memberi penerangan kepada pengundi di kawasan Machap agar mereka tidak terpengaruh dengan isu-isu yang dibangkitkan pembangkang termasuk isu peribadi pemimpin tertentu.
‘‘Yang paling tidak menyenangkan hati ialah isu peribadi yang melibatkan beberapa tokoh nasional, negeri dan tempatan. Saya menyeru pengundi di Machap supaya tidak terpengaruh dengan isu peribadi yang dibawa oleh penceramah DAP,’’ katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pilihan raya kecil DUN Machap di sini, malam tadi.
Ahmad Zahid yakin pengundi di kawasan itu tidak akan terpengaruh dengan isu nasional dan tempatan yang dibangkitkan DAP kerana mereka telah memperoleh maklumat tepat. Mingguan Malaysia - 1 April 2007.


Nampaknya pada Pilihanraya Kecil Dun Machap ini Umno dan Barisan Nasional terang-terang memperalatkan jentera kerajaan iaitu kementerian penerangan dalam perang kempen mereka di Dun Machap. Sedangkan ini adalah pertarungan antara Barisan Nasional dan parti pembangkang, bukannya antara Kerajaan Malaysia dengan musuh negara. Sepatutnya dalam menjawab segala isu dalam pilihanraya mereka sepatutnya mereka menggunakan Biro Penerangan dalam parti mereka.

Oleh itu jika benar-benar SPR mendakwa mereka masih lagi berwibawa kita mahu lihat adakah mereka akan menghalang tindakan tidak beretika Barisan Nasional ini.


AHLAN WASAHLAN KENG YAIK
Setelah 26 tahun memegang amanah sebagai Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik akan melepaskan jawatannya minggu depan. Dalam akhbar hari ini Datuk Seri Keng Yaik memberitahu wartawan bahawa beliau akan meneruskan kegiatan politiknya dalam parti walaupun tidak lagi memegang jawatan presiden.

Jika mengambil kira 26 tahun sebagai presiden parti, beliau sudah tentulah sebaris dengan Tun dan juga Datuk Seri Samy Vellu. Maka kita harap Datuk Seri Keng juga akan mengikut jejak langkah Tun, bersama-sama bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden Umno itu dalam mengkritik dasar-dasar dan tindak-tanduk kerajaan yang tidak betul.


IRAN MEMENANGI PERANG PROPAGANDA - PENGANALISIS ANTARABANGSA.
Sentuh sedikit berkenaan isu antarabangsa. Sebagaimana yang kita maklum Negara Iran sedang dalam perhatian Amerika dan sekutunya apabila negara berkenaan dikatakan memperkayakan bahan uraniumnya bagi tujuan persenjataan. Belum pun reda isu ini 13 Mac yang lalu Pasukan Elit Pengawal Revolusi Iran telah menahan lima belas anggota Tentera Britain di Teluk Parsi kerana menceroboh wilayah negara berkenaan secara haram. Perkembangan terbaru ini menambahkan lagi ketegangan Tehran dengan sekutu rapat Amerika itu. Dalam akhbar hari ini pula disiarkan kenyataan daripada penganalisis antarabangsa bahawa Iran telah pun memenangi apa yang dinamakan perang propaganda;

Sementara itu, penganalisis antarabangsa berkata, Teheran nampaknya memenangi perang propaganda, ketika Britain bertungkus lumus meminta kalangan antarabangsa mengenakan tekanan lebih keras ke atas negara itu.
Walaupun London mengkritik tindakan Iran sebagai satu manipulasi yang tidak boleh diterima, penyiaran gambar askar yang ditahan dan rakaman video seorang anggota tentera wanita, Faye Turney, 26, mendominasi laporan media sejak beberapa hari lalu.
Mereka mendapat perhatian semua pihak. Mereka secara jelas memenangi propaganda dengan menggunakan tentera wanita kerana mereka tahu ia adalah satu kelebihan.
Saya tidak sukakannya, tetapi mereka memang berjaya melakukannya, kata Paul Beaver seorang pakar pertahanan.
Faye mendapat perhatian umum terutama cara dia digambarkan dalam siaran televisyen itu dengan memakai tudung dan pengakuannya bahawa semua 15 anggota tentera Britain itusecara jelas memasuki perairan Iran.Tiga surat yang didakwa ditulis oleh Faye sudah disiarkan setakat ini dan ia secara jelas dilihat umum berjaya mengukuhkan kedudukan Iran. Berita Minggu - 1 April 2007.

Bagi saya jika Amerika Syarikat dan sekutunya bebas untuk menceroboh negara lain, bebas untuk mengheret pemimpin negara berkenaan ke mahkamah dan bebas untuk menjatuhkan hukuman mati kepada pemimpin negara yang diceroboh, maka mereka tiada hak untuk mempertikaikan tindakan Kerajaan Iran untuk menangkap serta mendakwa di mahkamah mereka yang menceroboh negara Iran sendiri. Mereka ada hak untuk bertindak demi kedaulatan negara mereka sendiri.

posted by Lidah Penghunus @ 5:12 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter