Antara laman web parti pemerintah dengan laman web parti pembangkang
Assalamualaikum.
Akhbar hari ini Ketua Penerangan UMNO Johor, Senator Dr. Mohd. Puad Zarkashi meminta agar semua laman web dan blog milik kerajaan dan parti pemerintah dipersembahkan dalam bentuk yang lebih menarik.
Semua laman web dan blog milik kerajaan Barisan Nasional (BN) dan parti dalam komponennya terutama UMNO mesti sentiasa menarik bagi memastikan golongan muda berpendidikan tinggi berminat melayarinya.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Senator Dr. Mohd. Puad Zarkashi memberitahu, ruang saluran berita secara Internet itu juga mesti sentiasa segar, diperbaharui dan mengandungi maklumat-maklumat terkini.
Beliau berkata, langkah itu penting kerana golongan tersebut kini cenderung mencari pelbagai maklumat termasuk isu-isu politik dan semasa melalui Internet.
‘‘Saya bimbang golongan ini tidak berminat melayari laman-laman web dan blog milik kerajaan dan parti pemerintah hanya kerana persembahannya kurang menarik walaupun mengandungi maklumat tepat dan benar,”
Menurut Mohd. Puad, beliau mengakui kebanyakan golongan muda kini lebih menggemari laman-laman web bebas dan juga milik parti pembangkang kerana pendekatan digunakan adalah lebih berbentuk sensasi.
Beliau berkata, orang ramai termasuk golongan ini lebih suka melayari laman web sedemikian walaupun ia mengandungi maklumat tidak tepat dan lebih buruk lagi turut mengandungi unsur-unsur fitnah. Utusan Malaysia - 19 Mac 2007.
Bagi saya ianya bukanlah kerana laman web atau blog parti pemerintah iaitu Umno dan Barisan Nasional tidak menarik, malahan ada yang lebih canggih, lebih interaktif berbanding laman web milik pembangkang mahupun bebas. Tetapi kerana Umno dan barisan Nasional memiliki akhbar perdana dan televisyen. Mereka bebas berkempen, memburuk-burukkan parti lawan dan menjawab segala isu di media-media yang mereka kuasai.
Jadi tidak perlulah rakyat merujuk lagi kepada laman-laman web atau blog milik mereka. Yang rakyat mahukan ialah cerita sebenar daripada pembangkang sendiri sedangkan pembangkang tidak diberikan ruang di dalam media perdana untuk menjawab segala tohmahan yang dilemparkan. Oleh kerana itulah laman-laman web dan blog milik pembangkang lebih mendapat sambutan berbanding milik Umno dan Barisan Nasional.
Sementara itu dalam akhbar yang lain pula ketua menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan kononnya tindakan pembangkang menaburkan fitnah dan dakyah memburukkan pemimpin negara menerusi internet serta blog sebagai ketandusan idea.
Tindakan pembangkang menaburkan fitnah dan dakyah memburukkan pemimpin negara menerusi internet serta blog sejak kebelakangan ini dianggap bermusim selepas parti berkenaan ketandusan idea, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, tindakan sedemikian adalah gimik pilihan raya dan ingin meraih simpati, serta orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpengaruh.
"Jangan percaya dengan fitnah berkenaan dan saya beranggapan ia adalah taktik kotor pembangkang. Maklumat itu tidak tepat dan mengelirukan, ia juga sebagai jalan mudah supaya rakyat membenci pemimpin. Berita Harian - 19 Mac 2007.
Jika benar pembangkang ketandusan idea, apa perlunya mereka menggunakan laman web dan blog sebagai medium penyaluran maklumat? Sedangkan ianya perlu dikemaskini setiap masa dan sudah tentulah bagi mereka yang mempunyai banyak isu dan idea sahaja yang akan menggunakan laman blog ini. Adalah lebih baik mereka gunakan sahaja akhbar seperti Harakah yang hanya terbit dua kali sebulan. Sebenarnya parti pemerintah yang ketandusan idea sehingga timbul masalah seperti yang diperkatakan oleh Dr. Mohd. Puad itu tadi.
Sebut pula tentang cerita perbalahan antara Pak Lah dan Datuk Seri Najib yang kini hangat diperkatakan di laman-laman blog. Memang benar Pak dan Datuk Seri Najib telah menafikannya. Tetapi seperti juga dakwaan pembangkang mereka boleh pertikaikan kebenarannya maka kita juga boleh mempersoalkan sejauh mana benarnya penafian yang dibuat oleh dua orang pemimpin tertinggi Umno ini.
1 Comments:
pembangkang banyak kritikan
Malaysia Web Design
Post a Comment
<< Home