Tuesday, March 13, 2007

Berkenaan keputusan perperiksaan pun hendak berbohong.

Assalamualaikum.

Minggu lepas perhatian kita tentang SPM 2006 telah tertumpu kepada adik Nadiah yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar perdana memperolehi keputusan 19 A sekaligus mendahului pelajar terbaik SPM dua tahun dahulu. Kejayaan adik Nadiah ini juga turut mendapat tempat di blog Lindunganbulan ini kerana terdapat sesuatu yang istimewa di sebalik kejayaan beliau.

Namun apabila memperolehi keputusan yang rasmi rupa-rupanya laporan yang dibuat oleh akhbar-akhbar perdana ini tidak tepat. Tidak pasal-pasal saya juga turut berbohong dalam blog. Adalah sesuatu yang dikesalkan apabila mereka tidak berhati-hati dalam membuat laporan. Jika berbohong dalam isu-isu politik itu dikira biasa bagi akhbar-akhbar yang dikawal oleh parti pemerintah ini. Namun mereka tidak usahlah hendak samakan keputusan tidak rasmi perperiksaan dengan keputusan tidak rasmi pilihanraya kerana ianya melibatkan air muka seseorang individu.

Sebelum ini Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah mendakwa bahawa semua penulis blog adalah pembohong sedangkan di Malaysia sahaja saya percaya terdapat ribuan penulis blog dan tidaklah semuanya pembohong. Tetapi bagi akhbar perdana pula di Malaysia ini hanya ada dua sahaja. Jadi adakah Tengku Adnan mahu mengatakan mereka semua pembohong?

Untuk adik Nadiah pula tidak perlulah terasa hati dengan insiden ini kerana bagi saya kejayaan beliau memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Allah tidak akan tanya di akhirat kelak mengapa beliau gagal memperolehi 19 A1, yang Allah akan lihat adalah kesungguhan beliau menuntut ilmu dan mengamalkannya. Semoga adik Nadiah akan terus istiqamah dengan amal-amal solehnya walaupun telah bergelar insan yang berjaya kelak.

posted by Lidah Penghunus @ 10:58 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter