Tuesday, March 06, 2007

Gaji tinggi cenderung beri suapan - TI-Malaysia

Assalamualaikum.

Berkenaan dengan kajian oleh Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) yang disiarkan dalam sebuah akhbar perdana hari ini;

Menurut kajian itu, golongan berpendapatan bulanan RM5,000 ke atas didapati paling ramai memberi rasuah iaitu 52 peratus, diikuti kumpulan berpendapatan bulanan RM3,001 hingga RM5,000 (40 peratus), RM1,501 - RM3,000 (31 peratus) dan kurang RM1,500 (18 peratus).

Kajian ke atas 1,025 responden meliputi penduduk pelbagai lapisan masyarakat serta 411 wakil badan korporat itu mendapati, 58 peratus masyarakat Cina cenderung memberi rasuah, diikuti India (23 peratus) dan Melayu (14 peratus).

Sepertiga daripada orang awam dan separuh daripada wakil sektor korporat yang terbabit dalam kaji selidik itu mengaku pernah memberi rasuah bagi mengelakkan kerumitan apabila melakukan sesuatu urusan atau didakwa atas pelbagai kesalahan.

Butiran kaji selidik terkandung dalam laporan Pemantauan Persepsi Ketelusan di Malaysia yang diedarkan, di sini, semalam. Berita Harian - 6 Mac 2007.

Apa yang saya nampak melalui hasil kajian ini ianya menunjukkan bukti terdapatnya jurang pendapatan yang besar di kalangan rakyat di negara ini. Walaupun dikatakan KDNK kita meningkat, pendapatan perkapita rakyat tinggi, indeks komposit melonjak tinggi namun agihan pendapatan di negara kita masih lagi tidak seimbang. Ini ditambah pula dengan beberapa kenaikan seperti harga petrol, kadar Tol dan seterusnya harga barangan keperluan yang menyebabkan menurunnya kadar upah benar rakyat.

Oleh itu tidak hairanlah jika golongan yang berpendapatan tinggi ini menganggap wang adalah penyelesaian dan sogokan sebagai jalan keluar kepada sesuatu permasalah atau ketika berurusan. Namun begitu gejala rasuah ini tidak akan terjadi tanpa adanya penerima rasuah atau sogokan dan penerima rasuah ini pula rata-rata terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

Di sini juga kita tidak boleh menolak hakikat bahawa golongan penerima rasuah kebanyakannya adalah daripada penjawat awam. Ini memandangkan gaji yang mereka terima masih lagi di tahap yang rendah. Di sini saya agak bersetuju dengan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Shahrir Samad;

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Shahrir Samad, dalam ucaptama pada majlis itu, pula yakin peningkatan gaji dan pelarasan kenaikan pangkat, terutama untuk kakitangan kerajaan, yang sejajar dengan peningkatan kos sara hidup dapat menghapuskan separuh daripada masalah rasuah dalam sektor awam.

“Umpamanya, jika kerajaan berjaya memenuhi semua keperluan ini bagi pasukan polis, separuh daripada masalah rasuah negara boleh dianggap selesai. Ini satu jabatan saja, kita belum lagi pergi kepada yang lain.

“Bagaimanapun, usaha ini tidak mungkin berhasil dengan kesungguhan satu pihak saja, sebaliknya orang ramai juga harus menjauhi amalan rasuah pada peringkat teratas sehingga ke akar umbi. Berita Harian - 6 Mac 2007.

Walaubagaimana pun peningkatan dalam pendapatan rakyat ini tidaklah akan menyelesaian masalah rasuah ini secara keseluruhannya kerana sudah lumrah bagi sesetebgah manusia yang tidak pernah puas dengan apa yang diperolehi. Maka sebab itulah wajib kembali kepada ajaran Islam yang menyeluruh, melaksanakan Islam secara keseluruhannya dalam pemerintahan agar wujudnya keberkatan dalam pentadbiran.

posted by Lidah Penghunus @ 12:56 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter