Tuesday, February 20, 2007

Pelatih kolej tentera didera

Assalamualaikum.

Seorang bapa kepada pelatih pegawai kadet tahun dua Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas di sini mendakwa anaknya didera teruk ala penjara Abu Ghraib di Iraq termasuk dipaksa minum air kencing dan berkumur menggunakan air mengandungi najis.

Satu daripada rakaman video menunjukkan sekumpulan pelatih memasukkan seorang pelatih lain dalam tong sampah berisi air najis sehingga paras pinggang, dipaksa menjilat sesuatu atas tanah selain dipukul serta ditendang pada kepala dan badan.
Ada juga pelatih dipercayai dari tahun tiga dilihat memijak kepala Mohd Hazim ketika dia melakukan tekan tubi, selain dipaksa memasukkan kepalanya dalam longkang serta disiram air kotor daripada longkang.

Rakaman kejadian di Wisma Kadet di Kem Tanah Merah, Jitra itu juga menunjukkan mangsa dipaksa minum banyak air termasuk air berwarna hitam yang dipercayai air kotor. Berita Harian - 20 Febuari 2007.

Di sini memang kita menerima bahawa latihan ketenteraan itu mestilah berbentuk fizikal yang agak keras bertujuan untuk menyediakan seorang bakal perajurit yang mampu untuk menghadapi segala cabaran di medan perang. Namun begitu apa yang dilaporkan di atas ini sememangnya adalah sesuatu yang luar di batas kemanusiaan apatah lagi di negara Malaysia yang penduduknya beragama Islam ini.

Persoalannya di sini adakah latihan-latihan yang melampau dan terlalu keras sebegini akan melahirkan seorang tentera atau pasukan tentera yang mampu menghadapi musuh? Kita telah lihat dalam sejarah bagaimana tentera Islam ketika dahulu pernah menakluk negara kuasa besar dunia. Namun tentera mereka dilatih tidaklah hingga dipaksa memakan sampah atau minum air najis. Yang lebih diterapkan kepada mereka adalah kekuatan iman dan roh jihad yang mendorong mereka untuk berjuang semata-mata kerana Allah.

Sebenarnya apa yang saya perhatikan walaupun institusi ketenteraan kita mempunyai Kor Agama atau KAGAT namun penerapan nilai Islam itu masih lagi kurang, masih banyak lagi perkara-perkara yang tidak selari dengan kehendak Islam terutamanya dalam aspek latihan ketenteraan. Kita masih lagi terikut-ikut dengan institusi ketenteraan di barat khususnya di Amerika Syarikat dan Britain. Memang benar dari segi teknik, taktik, kepakaran serta teknologi kita harus belajar daripada mereka namun tidak haruslah hingga ke sesuatu yang bertentangan dengan Islam.

Kerana jika roh Islam dan jihad ini tidak disemaikan bersungguh-sungguh ke atas perajurit kita bagaimana jika suatu hari nanti mereka mahu berhadapan dengan musuh yang akan menyerang negara kita atas nama agama? Andaikata ditawan musuh, dengan latihan yang diterima mungkin mereka mampu berhadapan dengan penderaan fizikal tetapi bagaimana pula jika mereka disogok oleh musuh dengan kemewahan dan wanita? Maka pada masa itulah pentingnya kekuatan kerohanian pada diri mereka yang mampu menolak apa jua sogokan daripada musuh yang lebih kepada dorongan nafsu.

posted by Lidah Penghunus @ 2:48 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter