Dua kementerian batal peraduan.
Assalamualaikum.
Akhbar hari ini menyifatkan keputusan menarik balik peraduan yang berkaitan dengan MyKad dan pesalah trafik sebagai keputusan yang jarang-jarang dibuat oleh seorang menteri.
Seorang daripada mereka, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad ketika menarik balik peraduan yang menawarkan hadiah kereta Perodua MyVi bagi orang ramai yang menukar MyKad menganggap ia sebagai ‘tidak perlu’.
Sementara seorang lagi menteri, Datuk Seri Chan Kong Choy yang baru melancarkan peraduan tangkap gambar pesalah trafik - empat hari lalu - menyifatkan peraduan itu ‘boleh disalah guna oleh sesetengah pihak untuk meraih untung’ Utusan Malaysia – 14 Febuari 2007.
Baguslah jika kedua-dua menteri ini membuat keputusan untuk menarik balik peraduan yang mereka anjurkan di kementerian masing-masing. Memang tidak perlu pun menganjurkan peraduan yang sebegini lebih-lebih yang bersangkutan dengan MyKad iaitu alat pengenalan diri yang amat penting bagi rakyat Malaysia. Adalah lagi baik wang itu disalurkan kepada mereka yang memerlukan lebih-lebih lagi sesudah bencana banjir ini.
Berkenaan peraduan anjuran Kementerian Pengangkutan pula sebenarnya ianya telah lama dilaksanakan oleh DBP iaitu melalui program Pantau Tegur Bahasa yang juga menyediakan ganjaran bagi mereka yang memberikan maklumat tentang penyalahgunaan Bahasa Melayu di tempat awam namun ianya mungkin tidak disesuai untuk dilaksanakan bagi kesalahan yang berkaitan dengan lalu-lintas yang bersifat mobiliti.
Dalam akhbar perdana yang lain pula Putera Umno menawarkan ganjaran motosikal dan sejumlah wang tunai kepada mat rempit atau orang ramai yang bekerjasama dengan polis sehingga berjaya menahan peragut
Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata usaha itu juga diharap dapat menggalakkan orang ramai, khususnya mat rempit yang selalu dipandang negatif dalam membantu menahan peragut daripada terus bermaharajalela."Ia adalah usaha terbaru Putera Umno menggalakkan masyarakat dan mat rempit membantu polis membendung gejala ragut yang semakin berleluasa.“Malah, usaha itu juga sebagai bukti komitmen Putera Umno untuk terus berusaha menjadikan mat rempit sebagai mata dan telinga polis," Berita Harian – 14 Febuari 2007,
Bagi saya cadangan Putera Umno ini juga perlu dikaji sedalam-dalamnya lebih-lebih lagi apabila mereka bercadang untuk menghadiahkan sebuah motorsikal. Ditakuti Mat Rempit yang sudah memiliki motorsikal ini akan lebih giat dengan kegiatan rempit mereka apabila menerima sebuah lagi motorsikal. Selain daripada itu kita juga bimbang jika ‘peraduan’ ini akan mewujudkan persaingan yang tidak sihat di kalangan mat-mat rempit ini dalam mencari ‘mangsa’ mereka.
Selain daripada dua peraduan yang dibatalkan oleh dua kementerian ini kita juga mahu peraduan-peraduan lain yang jelas tidak berfaedah dan juga berunsurkan judi serta penipuan yang sekarang ini semakin menjadi-jadi diberi perhatian. Ianya juga termasuk peraduan-peraduan bakat nyanyian yang sekarang ini semakin banyak serta melalaikan para remaja. kerana peraduan seumpama ini lebih memudaratkan masyarakat.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home