Monday, February 26, 2007

Dulu Iraq kini Iran.

Assalamualaikum.

Berkenaan krisis Amerika dan Iran yang melibatkan bahan nuklear ini kita ibaratkan dalam sebuah kampung terdapat sebuah keluarga yang meningkatkan sistem keupayaan bekalan elektrik rumahnya. Tiba-tiba sebuah keluarga yang lain yang berlagak seperti ketua kampung menegur tindakan keluarga berkenaan sebagai yang boleh mengancam keselamatan kampung. Kononnya keupayaan elektrik di rumah keluarga itu boleh digunakan untuk mengancam keselamatan jiran lain.

Atau pun sebuah keluarga yang lain membeli kelengkapan pertukangan untuk memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan di rumahnya disifatkan oleh keluarga yang bertindak sebagai ketua kampung itu tadi sebagai senjata yang boleh mengancam jiran-jiran yang lain. Ini adalah kerana kedua-dua keluarga ini tidak sehaluan dengannya sedangkan bagi keluarga lain yang sehaluan dengannya menyimpan senjata api di rumah pun tidak menjadi masalah kepadanya.

Begitulah gambarannya Amerika Syarikat dan sekutunya terhadap program pengayaan uranium oleh negara Iran sebuah negara yang dari dahulu tidak di senangi oleh negara yang bertindak sebagai polis dunia itu. Apapun alasan serta bukti yang diberikan oleh Iran tetap tidak akan dipandang Amerika kerana dalam fikiran mereka hanya nampak Iran sebagai musuh yang akan mengancam mereka.

Sedangkan sejak tercetusnya revolusi Islam di Iran pada tahun 1979 tidak pernah pun negara berkenaan menyerang mana-mana negara. Yang kita pernah tercatat dalam sejarah ialah negara berkenaan di serang oleh Iraq yang dibantu oleh Amerika. Bagi saya tindakan Amerika untuk berperang dengan Iran hanya akan menambahkan satu lagi beban kepada negara itu khususnya kepada rakyatnya setelah mereka dilanda masalah di Iraq dan Afghanistan dan yang masih berlarutan hingga kini.

Mungkin semasa kempen perang di Afghanistan mereka berada dalam kekuatan yang maksima. Namun setelah berhadapan dengan Afghanistan dan Iraq kekuatan mereka mungkin tidak sehebat dahulu dan ianya termasuklah dalam aspek kewangan. Sedangkan kerajaan Iran setelah perang dengan Iraq belum pernah lagi terlibat dengan mana-mana perperangan. Maka tidak perlulah Amerika hendak menguji sejauh mana kekuatan ketenteraan mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 1:01 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter