Thursday, March 01, 2007

Baik serahkan sahaja tampuk pemerintahan kepada artis.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hari ini Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyatakan bahawa badan itu akan menggunakan khidmat artis popular dalam usaha memerangi serta memupuk kesedaran tentang bahaya rasuah.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menggunakan ‘khidmat’ artis popular tanah air dalam kempen antirasuah dan memupuk kesedaran orang ramai mengenai kesan buruk perbuatan itu.
Antara artis hiburan yang sudah menyatakan persetujuan termasuk seniman veteran Aziz Sattar, artis Akademi Fantasia (AF) seperti Mawi, Felix, Faizal, Salima serta Hattan, Faradiya, Nash, Radhi Khalid dan Maya.Pengarah BPR Perak, Samsiah Abu Bakar, berkata dua acara utama melalui program itu ialah Konsert Selebriti Antirasuah pada malam 24 Mac ini dan Larian Selebriti Antirasuah pada pagi 25 Mac.

"Program itu yang turut membabitkan kerajaan negeri dan Karyawan adalah satu daripada strategi pencegahan dijalankan BPR untuk menyampaikan mesej antirasuah kepada orang ramai sempena sambutan ulang tahun ke-40 BPR."
Kami menggunakan artis untuk program ini kerana umum mengetahui artis adalah idola dalam kehidupan masyarakat.
"BPR bersepakat untuk mengetengahkan artis sebagai perantaraan bagi menyampaikan mesej rasuah," Berita Harian – 1 Mac 2007.

Bermula dengan penurunan Indeks Persepsi Rasuah pada tahun lepas dan yang terbaru Ketua Pengarah BPR sendiri didakwa terbabit dengan rasuah, gangguan seksual dan salah guna kuasa. sekarang ini mereka akan menggunakan populariti artis popular pula dalam usaha menyesaikan masalah rasuah yang gagal ditangani oleh pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ini.

Nampaknya peranan artis ini begitu penting rupanya kepada pemerintah Barisan Nasional ini. Semasa hendak meraih undi dalam pilihanraya populariti mereka yang akan digunakan dalam kempen-kempen pilihanraya malahan kini dalam usaha memerangi rasuah pula peranan mereka diperlukan. Sebagaimana yang kita maklum golongan artis ini diberikan tempat yang luas dalam media-media utama negara. Mereka bebas memperkatakan apa sahaja hatta yang berkaitan dengan agama. Hinggakan ada seorang artis yang begitu tercelupar menghina isteri Nabi Muhammad SAW.

Jika beginilah keadaannya eloklah sahaja Pak Lah dan Barisan Nasional menyerahkan tanggungjawab pemerintahan serta pentadbiran negara ini kepada golongan artis. Biarkan sahaja golongan artis ini menyelesaikan masalah rasuah, menjayakan RMK 9 dan menjalankan pentadbiran berdasarkan prinsip Islam Hadhari.

posted by Lidah Penghunus @ 11:14 AM   1 comments

1 Comments:

At 11:16 AM, Anonymous Anonymous said...

Betul tu, kalau selalu sangat guna khidmat artis, patut sangat tanggungjawab pemerintahan serta pentadbiran negara ini diserahkan kepada golongan artis. Ini lah dunia akhir zaman, artis di puja-puja. Islam Hadhari kah ini?

Program realiti TV juga akan melahirkan lebih ramai artis-artis baru. Bila dah makin ramai artis, maka tak lama lagi adalah artis-artis yang akan bertanding untuk pilihan raya. Calon-calon ni nanti tak perlu lagi berucap, menyanyi sahaja sudah cukup untuk berkempen! "Undilah saya.. undilah saya" dalam pelbagai rentak dan irama! Dan kita boleh mengundi secara SMS!!

Golongan artis akan menceburi dunia politik adalah sesuatu yang tidak mustahil sebab dah ada artis yang dah dilantik sebagai Ahli Majlis di PBT. Artis juga diterima baik dikalangan VIP dan profesional. Ada yang bermenantukan artis dan ada juga yang nak beristerikan artis. Nanti jangan terkejut jika ada artis naik menjadi pengarah, artis menjadi ahli parlimen dan artis jadi peguam. Sudah tentu nanti di masa hadapan, ramai yang nak sangat tonton siaran langsung persidangan Parlimen dan Dewan Rakyat sebab ada wakil rakyat yang akan menyanyi dan menari!

 

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter