Wednesday, March 07, 2007

Antara akhbar terbitan pembangkang dan laman blog.

Assalamualaikum.

Mengulas sedikit tentang kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam akhbar hari ini yang menasihatkan agar dasar keterbukaan kerajaan tidak digunakan rakyat sebagai satu lesen untuk menuduh individu tertentu tanpa sebarang bukti atau asas kukuh;

Sebaliknya, beliau mahukan rakyat menggunakan sistem dan prosedur yang betul dalam membuat sebarang aduan perbuatan salah laku individu kerana negara mempunyai sistem perundangan yang lengkap dan adil bagi menentukan kebenaran.
"Kita mempunyai sistem (perundangan), bila ada aduan terhadap individu tertentu, orang ramai boleh menulis kepada polis atau Badan Pencegah Rasuah (BPR) bersertakan maklumat dan bukti.
"Bukan menyalahgunakan kemudahan yang disediakan kerajaan untuk menuduh sesiapa saja. Kita perlu bertanggungjawab dan adil. Biar sistem perundangan kita yang menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak Berita Harian – 7 Mac 2007.

Di sini kita singkap kembali isu banglo mewah serta gerai sate DZ House milik Dato’ Zakaria Deros yang pernah menimbulkan kontroversi penghujung tahun lalu. Isu berkenaan mendapat perhatian daripada menteri besar serta perdana menteri sendiri setelah ianya tersebar luas di media-media massa dan lama blog

Andaikata segala kecurangan ini dilaporkan terus kepada pihak-pihak yang berkenaan tanpa didedahkan melalui media-media massa serta blog. Kita tidak yakin bahawa ianya akan diambil tindakan secara serius oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Tambahan lagi ketika ini salah sebuah institusi yang bertanggungjawab menghadapi masalah apabila ketua pengarahnya menghadapi dakwaan rasuah dan salah guna kuasa. Maka di sinilah gunanya media-media yang bebas ini dalam menyampaikan maklumat tentang segala kecurangan serta salah guna kuasa yang berlaku kepada rakyat.

Apa yang ingin saya perkatakan di sini juga kebanjiran laman-laman blog yang cenderung kepada pembangkang akhir-akhir ini adalah kerana wujudnya beberapa sekatan terhadap parti pembangkang daripada menyampaikan maklumat kepada rakyat. Sedangkan parti pemerintah yang menguasai akhbar perdana serta stesyen TV bebas menghentam pembangkang melalui media yang dikawal oleh mereka.

Oleh itu jika kerajaan benar-benar mengamalkan dasar terbuka seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Nazri itu maka kerajaan haruslah melepaskan penguasaan media, membenarkan pembangkang berkempen di Televisyen ketika pilihanraya dan menaikkan tempoh permit penerbitan Harakah daripada dua kali sebulan kepada empat kali sebulan.

Kerana adalah lebih baik mereka membiarkan media rasmi pembangkang seperti tabloid Harakah dan Suara Keadilan yang maklumatnya terkawal ini menjadi sumber maklumat alternatif kepada rakyat daripada laman blog yang kita maklum maklumatnya tidak dikawal, sesiapa sahaja bebas menulis berkenaan apa sahaja di laman blog yang disediakan percuma ini.

posted by Lidah Penghunus @ 4:19 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter