Tuesday, March 13, 2007

Misi 2057 diumumkan pada masa pentadbiran Pak Lah dalam gerhana.

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini perdana menteri mengumumkan misi 2057 iaitu kesinambungan daripada Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh perdana menteri sebelumnya. Sebelum ini Tun Dr Mahathir sendiri pernah mengkritik perdana menteri atas tindak-tanduknya yang dikatakan akan membawa punca kepada kegagalan Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh beliau.

Bila sebut tentang misi dan wawasan ini sebenarnya nabi junjungan kita Muhammad SAW juga mempunyai visinya sendiri ketika memimpin negara Islam Madinah ketika dahulu. Di kisahkan dalam sirah bagaimana Rasulullah SAW pernah menjanjikan kepada seorang sahabat sebuah mahkota kerajaan yang ketika itu menjadi kuasa besar dunia sebagai hadiah dan ianya terlaksana beberapa tahun setelah kewafatan Rasulullah iaitu apabila kerajaan tersebut tumbang di tangan tentera Islam. Ini menunjukkan Rasulullah juga mempunyai misi dan pandangan yang jauh iaitu satu keyakinan bahawa negara Islam akan menumbangkan kuasa besar dunia pada ketika itu.

Namun begitu apa yang divisikan oleh Rasulullah itu bukanlah sekadar cakap kosong semata-mata. Ianya telah diikuti dengan usaha yang bersungguh-sungguh daripada baginda dalam menerapkan nilai Islam yang mendalam kepada masyarakat Islam dan menjalankan usaha tarbiah kepada sahabat-sahabat baginda yang suatu hari nanti akan mengambil alih tanggungjawab sebagai khalifah. Sebaik sahaja memegang tampuk pemerintahan negara Islam madinah, Rasulullah SAW diikuti oleh pengganti-penggantinya di kalangan Khulafa’ ar Rasyidin telah menjalankan pentadbiran dengan bersih, cekap dan amanah serta bebas daripada amalan korupsi.

Namun apa yang terjadi sekarang ketika Pak Lah mengumumkan misi 2057, pentadbiran beliau berada dalam gerhana, ketua pengarah BPR yang sepatutnya mengepalai usaha-usaha membenteras rasuah didakwa terlibat dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan menteri yang mengepalai pasukan polis pula sedang disiasat atas dakwaan rasuah. Jika beginilah keadaannya jangankan hendak capai Misi 2057, RMK 9 pun belum tentu dapat dilaksanakan dengan sempurna kerana gejala rasuah inilah antara punca gagalnya sesuatu rancangan pembangunan.

posted by Lidah Penghunus @ 1:02 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter