Antara Amalina dan Nadiah.
Assalamualaikum.
Jika dua tahun lepas perhatian kita telah tertumpu kepada pelajar terbaik SPM 2004, Nur Amalina Che Bakri yang mendapat 17 1A. Pada tahun ini adik Nadiah Amirah Jamil telah menarik tumpuan apabila berjaya meraih 19 A dalam perperiksaan SPM tahun 2006 sekaligus memecahkan rekod yang diperolehi oleh adik Amalina.
Seperti juga adik Amalina, kisah kejayaan adik Nadiah ini juga telah mendapat perhatian di dada-dada akhbar utama tanah air. Ruangan pendidikan akhbar Utusan Malaysia semalam turut memuatkan kisah bagaimana adik Nadiah boleh mendapat kejayaan 19A ini. Di sini saya paparkan kembali beberapa perenggan yang agak menarik perhatian saya;
Seperti remaja-remaja lain beliau juga turut menggunakan waktu lapang yang ada dengan membaca buku-buku di luar bidang akademik khususnya buku-buku motivasi dan dia amat meminati hasil karya Dr. H.M. Tuah serta buku-buku resipi masakan kerana Nadiah juga minat memasak. Bagaimanapun, Nadia mengakui beliau akan bangun lebih awal iaitu kira-kira jam 3.30 pagi untuk bersolat sunat terlebih dahulu, menghafal al-Quran sambil menunggu waktu solat subuh dan kemudian bersiap-siap ke sekolah. Kejayaan dan kecemerlangan Nadiah juga banyak dibantu dengan keyakinannya terhadap kekuatan dan keupayaan menghafal ayat-ayat suci Al-Quran.
Beliau yakin membaca dan menghafal kitab tersebut merupakan kaedah yang baik untuknya untuk sentiasa dapat berfikir dan bertindak secara lebih tenang dan mudah membuat hafalan.
Oleh itu katanya, beliau berusaha menghafal Al-Quran sejak di tingkatan satu dan menjadi amalan hariannya sehingga kini, walaupun dilakukan secara sedikit demi sedikit. Nadiah kini telah berjaya menghafal lapan surah antaranya Yasin, Al-Mulk, Ar-Rahman, Al-Sajdah, Al-Waqiah dan Luqman. “Saya menyimpan cita-cita untuk menghafal kesemua juzuk dalam al-Quran kerana yakin ia mampu memberi ketenangan dan menguatkan ingatan,” katanya.
Bersesuai dengan keyakinan terhadap ajaran Allah dapat mambantunya berjaya dunia dan akhirat, Nadiah juga menjadi seorang yang sangat pemilih terhadap persekitaran khususnya muzik yang perlu didengarnya setiap hari untuk menghilangkan kebosanan atau tekanan.
Nadiah mengakui beliau banyak mendengar lagu-lagu nasyid yang baginya sesuai untuk membentuk jiwa seseorang menjadi lembut dan amat meminati Kumpulan Raihan.
“Jika kita sentiasa terdedah dengan lagu-lagu bercorak keras, lama kelamaan jiwa kita juga akan menjadi keras,” katanya yang turut meminati Datuk Siti Nurhaliza dan berharap dapat bertemu dengan penyanyi pujaan ramai itu suatu hari nanti. Utusan Malaysia - 7 Mac 2007.
Ini berbeza dengan adik Amalina dahulu yang diuar-uarkan oleh sebuah akhbar sebagai seseorang yang turut meminati rancangan Akademi Fantasia. Mereka cuba memberikan gambaran kepada masyarakat bahawa seseorang yang meminati hiburan yang melalaikan juga tidak mustahil untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam akademik.
Sedangkan apa yang kita mahu adalah seseorang yang bukan setakat cemerlang di dunia tetapi ia juga cemerlang dalam aspek kerohanian, tidak dilalaikan dengan perkara-perkara mungkar. Oleh itu adalah menjadi harapan kita agar adik Nadiah ini suatu hari nanti menjadi seorang profesional muslim yang solehah yang menjadikan Islam sebagai cara hidup. Namun begitu kita juga masih mengharapkan agar adik Amalina yang sekarang ini sedang belajar di luar negara agar tidak terus hanyut dengan budaya hedonisme lebih-lebih lagi di negara luar sana yang penuh mencabar.
1 Comments:
Assalamualaikum...
bila terbaca...terfikir dengan pemilihan lagu yg selalu saya dengar...walau dalam masa yang sama saya juga mendengar IKIM.FM
apa yang anta katakan...benar dan saya sokong....
Post a Comment
<< Home