Saturday, March 10, 2007

Demonstrasi mahasiswa membantah kezaliman Zionis.

Assalamualaikum.

Semalam selepas solat jumaat telah berlangsung satu demonstrasi aman anjuran gabungan pelbagai persatuan mahasiswa di depan kedutaan Amerika bagi membantah kekejaman oleh rejim Israel. Selalunya jika merujuk kepada demonstrasi yang dianjurkan oleh pembangkang atau pun mahasiswa yang bukan proaspirasi maka saya akan terus mendapatkan perkembangan beritanya di akhbar-akhbar milik pembangkang khususnya Harakahdaily. Kerana kita sudah maklum bahawa demonstrasi yang dianjurkan oleh pembangkang dan juga mahasiswa yang tidak sehaluan dengan kerajaan tidak akan mendapat perhatian mereka.

Namun apa yang menarik pada hari ini akhbar Utusan Malaysia memberikan tempat untuk berita demonstrasi yang dianjurkan oleh mahasiswa yang terdiri daripada Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma) dan beberapa pertubuhan pelajar yang lain ini.

Kira-kira 800 orang pelajar mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak di sini hari ini berhubung isu Israel-Palestin.
Perhimpunan aman tersebut disertai oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma) dan beberapa pertubuhan pelajar yang lain.

Demonstrasi yang dilakukan secara aman itu juga bertujuan menyerahkan memorandum yang mengandungi tanda tangan 5,000 orang pelajar seluruh negara yang mahu kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dihentikan segera.

Jurucakap Gamis, Mior Asfundi berkata, perhimpunan yang diadakan itu telah membuatkan seorang pegawai politik kedutaan tersebut bersetuju membincangkan isu Israel-Palestin secara menyeluruh.

Kata beliau, pihaknya juga akan membangkitkan pelbagai isu lain seperti pencerobohan Al-Aqsa dan isu penempatan haram Israel dalam pertemuan tersebut. Utusan Malaysia - 10 Mac 2007.

Untuk itu tahniah diucapkan kepada gabungan persatuan mahasiswa yang diketuai oleh Gamis kerana terus menyuarakan isu-isu semasa termasuk yang melibatkan isu umat Islam Palestin walaupun masih berada di alam kampus. Tahniah juga kepada Utusan kerana memberikan tempat kepada mahasiswa-mahasiswa ini dalam menyuarakan rasa hati mereka.

Dan harapannya agar bukan sahaja demonstrasi yang menyuarakan bantahan terhadap kezaliman Israel atau Amerika Syarikat. Malahan kita juga mahu demonstrasi yang menyuarakan bantahan rakyat terhadap kenaikan harga minyak, kadar Tol juga diberikan tempat di akhbar mereka Kerana rakyat Malaysia ketika ini juga sedang merintih akibat tindakan kerajaan Barisan Nasional.

posted by Lidah Penghunus @ 6:31 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter