Wednesday, March 14, 2007

Khairy tuduh Pas guna taktik pengundi hantu.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hari ini Umno sekali lagi menuduh Pas menggunakan taktik pengundi hantu untuk mempertahankan penguasaannya di negeri Kelantan.

Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, berdasarkan maklumat, strategi Pas yang digelarnya sebagai ‘pengundi Zombie’ sudah lama digerakkan setelah parti itu dikejutkan dengan hampir tumbang dalam pilihan raya umum lalu.

Beliau memberi contoh, pengundi dari kawasan yang dikatakan kubu kuat Pas seperti Parlimen Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian dipindahkan ke kawasan lain yang dianggap semakin sukar dipertahankan.

‘‘Strategi kotor ini perlu disiasat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara. Saya terkejut apabila diberitahu tentang perkara itu,’’ Utusan Malaysia – 15 Mac 2007.

Di sini saya ingin mengajak orang-orang Umno khususnya Sdr. Khairy berfikir menggunakan akal dalam isu pengundi hantu ini. Pas hanya parti pembangkang yang tidak mempunyai autoriti dalam mengawal mana-mana instrumen kerajaan khususnya di peringkat pusat. Pas hanya memiliki satu negeri sahaja yang ditadbir iaitu negeri Kelantan, itu pun ianya kurang daripada dua pertiga.

Jadi bagaimana mungkin parti pembangkang itu boleh menggunakan taktik pengundi hantu sedangkan Jabatan Pendaftaran Negara bukan di bawah bidang kuasa mereka jauh sekali SPR. Secara logiknya taktik pengundi hantu ini hanya mampu dilakukan oleh parti-parti pemerintah di peringkat pusat kerana mereka menguasai segala instrumen kerajaan sama ada secara sah atau pun secara haram. Jadi tidak perlulah Khairy mahu mencari isu lain bagi menutup isu yang berkaitan dengan beliau ketika ini. Berkenaan kenyataan beliau di bawah ini pula;

Beliau turut menggesa Pemuda UMNO negeri memulakan strategi menyerang Pas bagi mendedahkan kelemahan dan kepincangan dalam pentadbiran kerajaan negeri sepanjang pemerintahannya kepada rakyat termasuk soal kroni dan pembalakan. Utusan Malaysia – 14 Mac 2007.

Kita alu-alukanlah usaha mendedahkan segala kepincangan dan penyelewengan yang berlaku tidak kira dalam mana-mana pemerintahan sekalipun. Tetapi ianya mestilah disertakan dengan bukti yang kukuh dan dilaporkan ke pihak bertanggungjawab. Kita mahu tahu juga kalau-kalau ada kes ala-ala banglo mewah milik Dato’ Zakaria Deros seperti yang terjadi di Selangor.

posted by Lidah Penghunus @ 1:21 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter