Saturday, March 17, 2007

Siapa yang memperolok Islam Hadhari?

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini Pak Lah yang ditemui di Perkampungan Hadhari Kepala Batas memberikan amaran kepada pihak tertentu terutama orang politik agar tidak memperolokkan Islam Hadhari. Seolah-olah orang yang memperolok atau mempertikaikan Islam Hadhari dianggap berdosa besar.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi amaran kepada pihak tertentu termasuk ahli- ahli politik agar jangan cuba memperolok-olokkan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkannya yang kini diterima baik oleh semua kaum di negara ini dan masyarakat antarabangsa.
Bagi Perdana Menteri, perbuatan pihak berkenaan memperlekeh dan memandang rendah konsep Islam Hadhari adalah satu kesalahan besar yang perlu diperbaiki.

Menurutnya, sejak konsep Islam Hadhari diperkenalkan, ia diterima baik oleh masyarakat pelbagai kaum dan antara usaha yang boleh dilihat menepati konsep itu adalah membina modal insan dan minda kelas pertama serta memperluaskan peluang ekonomi menerusi pembangunan kawasan mundur agar setanding dengan kawasan yang telah lama maju. Utusan Malaysia - 17 Mac 2007.

Di sini kita mahu bertanya siapa sebenarnya yang memperolok-olokkan Islam Hadhari kalau bukan Pak Lah dan Umno. Sudahlah Islam itu ditambah-tambah dengan nama Islam Hadhari, lepas tu diperolok-olokkan dengan gambaran bahawa Islam Hadhari, semua boleh, ibadat boleh maksiat pun boleh, solat boleh menari pun boleh, Jom Heboh boleh Perkampungan Hadhari pun boleh. Akhirnya ianya lari jauh daripada prinsip-prinsip yang dikemukakan.

Jika Pak Lah mengatakan bahawa Islam Hadhari boleh diterima oleh semua kaum termasuk bukan Islam. Memang itulah sifatnya bagi perkara-perkara yang batil ini, ianya akan mudah diterima oleh semua orang termasuk bukan Islam dan golongan musuh. Sedangkan perlaksanaan Islam secara menyeluruh yang dibawa oleh Pas begitu tidak disenangi oleh banyak pihak termasuk bukan Islam. Itu pun kerana gambaran buruk yang diberikan oleh Umno dan Barisan Nasional berkenaan Islam yang diperjuangkan oleh Pas

posted by Lidah Penghunus @ 3:11 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter