Saturday, March 24, 2007

Timbalan ketua polis Kelantan memberi khutbah Jumaat

Assalamualaikum.
Tertarik membaca tajuk akhbar hari ini tentang timbalan ketua polis Kelantan sendiri yang membaca Khutbah Jumaat.


Polis Kelantan mencatat sejarah tersendiri hari ini apabila Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi tampil membaca khutbah Jumaat di Masjid Mukim Langgar, di sini.
Lulusan Sarjana Muda Syariah dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menyampaikan khutbah tersebut dengan lancar selama kira-kira 25 minit.

Selain sebagai satu usaha merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat, khutbah itu adalah sempena sambutan Ulang Tahun Pasukan Polis Ke- 200, Ahad ini.

Menurutnya, prinsip menyeru perkara kebaikan dan mencegah kemungkaran seharusnya dihayati bersama dalam usaha mencegah jenayah menerusi Program Rakan Cop.

Beliau juga memaklumkan pasukan polis kini menerapkan Konsep Al Ehsan dalam proses pengukuhan integriti pasukan iaitu mengerjakan sesuatu dengan meyakini Allah sentiasa melihat seperti yang dijelaskan dalam hadis Rasulullah.

Beliau ketika ditemui Utusan Malaysia kemudian memaklumkan bahawa program seumpama itu akan diperluaskan di kesemua 10 daerah di negeri ini. Utusan Malaysia - 24 Mac 2004.

Dulu kita pernah mendengar saranan daripada menteri besar Kelantan agar ketua polis memberi khutbah jumaat dan kini ianya telah dilaksanakan di negeri bawah pentadbiran beliau. Bagi saya memang amat bertepatan sekalilah jika ketua polis sebagai penguatkuasa undang membaca khutbah jumaat. Kerana sebagaimana yang kita maklum antara perkara yang diberi penekanan oleh khatib setiap kali memberikan khutbah ialah Ittaqullah iaitu takut kepada Allah. Maka jika konsep ini benar-benar dipegang oleh ketua atau timbalan ketua polis sendiri maka insya-Allah tidak akan berlakulah amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa mahupun tindakan melampau terhadap penunjuk perasaan baru-baru ini.
Akhir sekali diharapkan agar perkara ini terus diamalkan, bukan setakat untuk sambutan Ulang Tahun Pasukan Polis Ke- 200 sahaja dan diharapkan agar ianya dapat diperluaskan hingga ke Bukit Aman sana.

posted by Lidah Penghunus @ 3:29 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter