Thursday, April 05, 2007

Catatan malam jumaat

WATAK SAMSENG DI DUN MACHAP.
Sentuh sedikit tentang insiden pergaduhan pada hari penamaan calon Dun Machap kelmarin, akhbar hari ini Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dalam mengulas insiden tersebut menyifatkan para penyokong DAP sebagai tidak bermoral.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan tindakan segelintir penyokong DAP mengejek serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) sehingga tercetus pergaduhan penyokong semalam sebagai tidak bermoral.Beliau yang diminta mengulas pergaduhan di Tebong selepas penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap berkata, tindakan penyokong pembangkang di luar batasan dan sering melakukan provokasi parti BN sehingga menyebabkan penyokong Pemuda MIC berang. Berita Harian - 5 April 2007

Sepatutnya orang yang paling layak mendapat gelaran tidak bermoral adalah penyokong MIC sendiri yang menyerang penyokong DAP. Kerana sudah jelas mereka penyokong MIC ini yang tidak tahu menahan sabar lalu bertindak melulu kepada para penyokong DAP yang mengejek. Perbuatan mengejek dalam majlis penamaan calon ini adalah perkara biasa kerana memang ada segelintir penyokong parti yang agak nakal tidak kira parti pembangkang mahupun pemerintah. Sepatutnya mereka harus sabarlah.

Kalau hendak dikirakan parti pembangkang khususnya Pas bukan sahaja pernah diejek, poster-poster pilihanraya kita pernah dikoyakkan, pemimpin-pemimpin kita pernah dihina melalui poster karikatur, malahan hingga ke tahap petugas-petugas parti pernah dipukul. Tetapi kita tetap sabar dan tidak bertindak melampau. Tetapi mereka baru sahaja diejek terus hendak menyerang. Kalau hendak dikatakan pembangkang menyerang peribadi, pada Pilihanraya Kecil Batu Talam dahulu Datuk Seri Najib sendiri terang-terang menyerang peribadi calon bebas yang dianggap terlalu muda dan mentah.


EKSPEDISI TERJUN KUTUB UTARA USAHA UBAH MAT REMPIT?
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan ekspedisi terjun bebas Kutub Utara oleh 12 anggota Putera UMNO sebagai satu usaha untuk mengubah nasib mat rempit di negara ini.
Beliau berkata, walaupun tidak semua mereka dapat dipulihkan tetapi sekurang- kurangnya penyertaan sebahagian besar mat rempit dalam projek itu merupakan bukti bahawa kumpulan terbabit boleh dibentuk menjadi wira negara.

Sementara itu, bapa kepada Mohd. Irwan, Shaari Ismail, 54, dari Baling Kedah ketika ditemui berbangga dengan pemilihan anaknya sebagai salah seorang peserta ekspedisi.
‘‘Diharap selepas ini dia menjadi anak yang berguna. Sebelum ini memang anak saya terkenal sebagai seorang mat rempit tetapi akhirnya Putera UMNO berjaya mengubahnya,’’ ujarnya. Utusan Malaysia - 5 April 2007.


Di sini kita lihat kes T. Ravichandran, antara pendaki Gunung Everest yang kini dikehendaki pihak polis atas kes penipuan. Sebagaimana yang kita maklum beliau pernah mengharumkan nama negara dan sekarang beliau sekali lagi dalam usaha mengharumkan negara melalui pendakian solonya. Orang-orang seperti beliau inilah yang menjadi kebanggaan negara melalui slogan Malaysia Boleh, cemerlang, gemilang dan terbilang. Namun kecemerlangan semata-mata bukanlah benteng untuk mencegah kita daripada berbuat kejahatan.

Saya tidak nampak yang ekspedisi penerjunan Kutub Utara itu boleh mengubah nasib dan kelakuan mat rempit dan nilainya juga tidaklah sama dengan mereka yang pergi berjihad menentang musuh-musuh Allah terutamanya di Palestin. Sepatutnya dalam usaha memulihkan mereka adalah melalui acuan al quran dan sunah, bukannya melalui akal semata-mata. Akibat mengambil kaedah akal semata-mata inilah masalah ini tidak pernah reda hinggakah mereka sudah berani menyerang anggota keselamatan.


IRAN MENANG LAGI PERANG PROPAGANDA.
Setelah hampir 4 minggu ditahan, akhirnya semalam kerajaan Iran telah membebaskan 15 anggota tentera laut Britain

Stesen televisyen Iran menyiarkan sedutan rakaman yang menunjukkan Presiden Mahmoud Ahmadinejad berbual-bual dengan para tahanan rakyat Britain tersebut di Istana Presiden sejurus selepas pengumuman pembebasan mereka dibuat oleh Presiden itu.

Mahmoud kelihatan bersalaman dengan mereka dalam keadaan santai sewaktu ‘proses pembebasan itu berlangsung’ dan mereka berbual dengan menggunakan seorang penterjemah.

“Kami menghargai semua ini, rakyat anda begitu baik dan kami sangat terharu,’’ kata seorang kelasi dalam bahasa Inggeris kepada Mahmoud.

Seorang daripada mereka mencelah: “Kami sangat terhutang budi kerana anda sanggup memaafkan kami.’’

Mahmoud pada sidang media sebelum itu mengumumkan bahawa Iran bersedia membebaskan tahanan berkenaan selepas berunding dengan London dan menganggapnya sebagai ‘hadiah Iran untuk rakyat Britain’.

Presiden itu bagaimanapun turut meluahkan kemarahannya terhadap Britain kerana ‘tidak cukup berani’ untuk mengakui bahawa mereka telah berbuat salah dengan menceroboh perairan Iran.

Mahmoud berkata, beliau bukan sahaja membebaskan tahanan tersebut tetapi akan turut menganugerahkan pingat kepada komander Tentera Laut Iran dan anggota tentera yang berjaya menahan 15 askar dan kelasi Britain itu. Utusan Malaysia 5 April 2007.


Bagi saya tindakan Iran ini adalah satu lagi kemenangan perang propaganda dan juga kemenangan moral mereka terhadap Britain dan juga rakannya Amerika Syarikat. Mereka yang sebelum ini begitu berang dengan tindakan Iran ini tentu akan menyangka bahawa mustahil negara berkenaan akan membebaskan 15 anggota tentera penceroboh ini dan tidak mustahil juga episod ini akan berakhir dengan perperangan. Namun dalam keadaan Britain dan Amerika sedang berkira-kira sama ada hendak berperang atau tidak, tiba-tiba kelima belas-lima belas tentera mereka dibebaskan, malahan disifatkan hadiah oleh kerajaan Iran sebagai kepada Britain.

Sekaligus menunjukkan kepada dunia bahawa inilah Islam yang sedia memaafkan kesalahan orang lain walaupun berbeza agama, walaupun mempunyai hubungan hubungan politik yang kurang baik. Walaupun kita sedia maklum bahawa Iran bermazhab syiah tetapi Amerika Sekutunya tidak akan memandang sama ada mereka itu syiah atau sunni, bila nama sahaja melaksanakan Islam secara keseluruhan negara itulah yang akan dimusuhi.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter