Jangan tidur semasa muktamar.
Assalamualaikum.
Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat telah pun berlalu dan meninggalkan pelbagai cerita, keazaman dan tekad untuk menghadapi pilihanraya umum serta tidak ketinggalan pelbagai kontroversi kepada kita. Selepas ini beberapa hari lagi kita akan mengikuti satu lagi perhimpunan tahunan parti politik pembangkang terbesar di negara ini iaitu Muktamar Tahunan Pas Pusat kali ke-53 yang akan diadakan di negeri yang ditadbir oleh Pas itu iaitu Kelantan.
Muktamar Pas kali ke-53 ini dijangka akan mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk daripada parti rakan dan lawan serta penganalisis politik daripada dalam dan luar negara. Ini kerana pada muktamar pada kali ini terdapatnya pemilihan bagi memilih pucuk pimpinan parti di peringkat pusat dan juga Muktamar Pas pada kali ini diadakan pada hampir menjelang Pilihanraya Umum ke-12.
Maka apa yang ingin saya perkatakan kepada perwakilan-perwakilan muktamar nanti, percayalah bahawa parti yang anda sertai ini adalah Parti Islam yang dasarnya adalah Islam, panduannya adalah Quran, Sunnah dan Ijmak Ulama’, badan pembuat keputusan yang tertinggi dalamnya ialah Majlis Syura Ulama’ dan cita-cita Pas adalah mewujudkan sebuah pemerintahan Islam. Oleh kerana itu Pas telah menepati ciri-ciri sebuah Jemaah Islam atau harakah Islam.
Maka mereka yang menyertai Pas dan aktif menerusinya juga sudah tentu mempunyai cita-cita yang sama iaitu mewujudkan sebuah masyarakat dan negara yang mengamalkan Islam secara keseluruhannya tidak kira sama ada mereka itu dari latarbelakang pendidikan agama atau tidak yang pentingnya sudah tertanam di hati mereka bahawa Islam adalah agenda perjuangan.
Sebagaimana yang kita maklum bahawa Pas juga adalah sebuah parti politik kontemporari yang berubah mengikut edaran masa namun dasarnya tidak sedikit pun berubah. Maka oleh sebab itulah pada masa kini Pas semakin diminati oleh golongan profesional dan mendapat penyertaan yang agak ramai daripada golongan yang bukan berlatarkan pendidikan agama ini.
Sebenarnya penyertaan daripada golongan profesional ini bukanlah perkara baru dalam Pas, jika kita singkap kembali sejarah, Pas telah disertai oleh ramai golongan profesional pada masa itu dan golongan-golongan ini menyertai Pas atas kesedaran mereka bahawa Islam itu wajib diperjuangkan dalam pelbagai cara sekalipun.
Oleh itu pinta saya janganlah lagi timbul soal golongan ulama’ dan profesional dalam hierarki kepimpinan Pas kerana siapa pun yang memegang amanah mereka tetap terikat dengan dasar dan perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas dan mereka juga tetap terikat dengan keputusan Majlis Syura Ulama’. Selama Pas disertai dan dipimpin oleh golongan profesional ini belum pernah lagi kita dengar Pas melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syariat Islam.
Di sini janganlah kita risau tentang ketandusan golongan ustaz atau ulama’ dalam Pas kerana selagi wujudnya Pas sebagai gerakan Islam, pendidikan Islam itu akan terus dititikberatkan dan ianya akan terus melahirkan golongan ulama’ yang menjadi waris para nabi. Malahan melalui penekanan pendidikan Islam ini jugalah golongan profesional itu tadi akan terus diterapkan dengan pendidikan Islam secara lebih mendalam. Ini bertepatan dengan apa yang disebut oleh al Marhum Ustaz Fadhil Noor iaitu “Memprofesionalkan ulama’ dan mengulamakan professional.”
Maka kepada perwakilan muktamar nanti, anda adalah delegasi yang dipilih oleh kawasan masing-masing untuk membawa hasrat dan harapan mereka ke muktamar yang menjadi medan untuk bermuhasabah serta memperbaiki kelemahan yang timbul, maka pikullah amanah ini dengan sebaik-baiknya, pilihlah mereka yang boleh merealisasikan agenda Islam yang dibawa oleh Pas tidak kira sama ada mereka itu golongan ulama’ atau professional.
Akhir sekali suka juga saya peringatkan kepada sidang muktamar sekalian agar tidak tidur sepanjang berlangsungnya muktamar kerana anda dihantar bukan untuk tidur. Semasa perhimpunan agung Umno tahun lepas kita telah menyaksikan para perwakilan termasuk pemimpin mereka tidur dan ianya telah dijadikan isu oleh kita. Maka janganlah hendaknya kita pun sama seperti mereka.
-=: Selamat Bermuktamar :=-
0 Comments:
Post a Comment
<< Home