Monday, May 07, 2007

Penubuhan Unit bendung gejala buang bayi oleh JKM.

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini memaparkan berkenaan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menubuhkan sebuah unit khas bagi menyelesaikan masalah pembuangan bayi yang semakin membimbangkan.

Unit itu, yang ditubuhkan baru-baru ini sebagai sebuah pusat sehenti, beroperasi secara bergerak dan mempunyai pelbagai kaedah bagi membantu ibu bermasalah serta bayi yang mereka lahirkan, termasuk bantuan kewangan jika perlu. Jurucakap JKM berkata, unit khas itu turut membantu ‘melindungi’ ibu dan bayi terbabit daripada dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa, manakala semua butiran mengenai kedua-duanya dikendalikan secara sulit.
Malah, selepas bayi terbabit selamat dilahirkan, JKM akan menyediakan khidmat kaunseling kepada si ibu yang memerlukan dan semua maklumat mengenainya dirahsiakan. Berita Harian - 7 Mei 2007.

Turut dimuatkan dalam laporan berkenaan adalah pandangan daripada pelbagai pihak termasuk seorang mufti berkenaan penubuhan unit khas tersebut, cumanya saya agak tertarik dengan pandangan yang telah diberikan oleh Presiden Pergerakan Kebangsaan Sikh Malaysia;

Presiden Pergerakan Kebangsaan Sikh Malaysia (Geraksikh), Tan Sri G Darshan Singh, turut menyokong usaha JKM itu dan menyifatkannya sebagai langkah terbaik menyelamatkan nyawa bayi luar nikah daripada dibuang.Bagaimanapun beliau mahu JKM lebih berhati-hati dalam pelaksanaannya supaya tidak menjadi alasan untuk menggalakkan remaja melakukan seks luar nikah dan menyumbang kepada pelbagai gejala sosial negatif lain. Berita Harian - 7 Mei 2007.

Di sini saya juga turut menyambut baik langkah JKM itu sebagai satu langkah untuk menyelamatkan nyawa-nyawa yang tidak berdosa. Namun begitu seorang yang telah melahirkan anak luar nikah akibat daripada penzinaan tetap bersalah dan harus dihukum mengikut undang-undang Islam.

Cumanya dalam perkara ini Islam masih lagi mengambil kira tentang kebajikan bayi yang dilahirkan. Maka oleh itu si wanita berkenaan akan dibiarkan sehingga dia bersalin dan selepas bersalin dia berikan tempoh pula untuk menyusukan bayinya dan selepas itulah baru wanita itu akan dihukum mengikut undang-undang Islam.

Namun apa yang dimusykilkan di sini JKM melalui unit ini seolah-oleh ingin melindungi si ibu berkenaan daripada dikenakan tindakan undang-undang. Kita takut jika terjadi seperti yang disebut oleh Presiden Geraksikh itu tadi iaitu perkara ini akan menggalakkan lagi penzinaan dalam masyarakat. Maka di sinilah pentingnya perlaksanaan hukum Islam secara menyeluruh dalam usaha membendung gejala penzinaan dan dalam masa yang sama menyelamatkan nyawa yang tidak berdosa.

posted by Lidah Penghunus @ 1:05 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter