Sempena Hari Kebebasan Akhbar esok
Assalamualaikum.
Tiga hari lamanya saya tidak menulis di blog ini mungkin ada yang menyangka bahawa saya telah kecewa yang teramat sangat dengan keputusan pilihanraya kecil baru-baru ini. Kebetulan juga minggu ini cuti sempena Hari Buruh dan Hari Wesak, mungkin ada juga menyangka bahawa saya pergi bercuti untuk meredakan kekecawaan di hati. Sebenarnya tidak, kerana bagi saya kemenangan demokrasi bukanlah kemenangan mutlak terutama bagi kita umat Islam. Dua tiga hari ini saya terlalu sibuk dengan pelbagai urusan hinggakan tiada masa untuk mengadap skrin komputer.
Namun begitu sempena Hari Kebebasan Akhbar Antarabangsa yang akan disambut esok saya tertarik dengan permintaan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) agar kerajaan mengiktiraf kewujudan laporan dalam Internet dan blog sebagai media baru bagi menyebarkan maklumat.
Presiden NUJ, Norila Mohd. Daud berkata, fenomena mendapatkan maklumat menerusi Internet memberi kesan yang amat besar dan ini menjadi sumber maklumat alternatif isu-isu semasa yang menyentuh masyarakat di negara ini.
“Penggunaan Internet dan konsep dunia tanpa sempadan yang tidak ditapis telah menjadikan maklumat lebih mudah diperoleh oleh sesiapa jua. Demikian halnya, apa jua penyalahgunaan oleh penjawat awam boleh didedahkan segera dalam internet” Utusan Malaysia - 3 Mei 2007.
Di sini saya juga turut senada dengan NUJ agar blog-blog yang berorientasikan maklumat ini diiktiraf sebagai media yang menjadi sumber maklumat mutakhir. Walau bagaimanapun saya tetap menolak jika ada percubaan agar laman-laman blog ini didaftarkan. Memang saya tidak nafikan bahawa ada sesetengah laman blog jenis ini yang memaparkan maklumat yang tidak benar. Namun dalam media-media perdana seperti surat khabar dan televisyen juga banyak melakukan pembohongan.
Pilihanraya Kecil Ijok yang telah berlangsung baru-baru ini juga telah memperlihatkan kepada kita betapa tidak beretikanya media-media perdana apabila memberi laporan berat sebelah yang melebihkan pihak parti pemerintah. Dalam akhbar yang sama hari ini Setiausaha Politik Perdana Menteri menyarankan agar PKR dibubarkan atas sebab kononnya parti berkenaan menggunakan kempen secara keganasan. Ini adalah satu lagi bukti betapa tidak beretikanya media perdana apabila menyembunyikan insiden petugas Pas dipukul teruk oleh pemuda Umno pada hari pengundian di Ijok. Perkara ini telah pun dilaporkan kepada polis oleh mangsa keganasan pemuda Umno. Namun ianya tidak sedikit pun disebut oleh mana-mana media yang dikawal oleh BN ini. Yang sering mereka sebutkan ialah kononnya pembangkang berkempen secara ganas dan memulakan provokasi.
Sepatutnya Umno yang harus dibubarkan bukan sahaja kerana melakukan tindakan ganas dan provokasi malahan kerana memperalatkan media, agensi kerajaan, polis dan SPR sekaligus tidak bersedia untuk menyertai pilihanraya secara 'anak jantan'. Akhir sekali Hari Kebebasan Akhbar Antarabangsa esok tidak ada ertinya jika akhbar-akhbar perdana di negara ini belum dibebaskan daripada penguasaan oleh parti pemerintah.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home