Friday, August 10, 2007

Miskin punca rentung, Tidak mampu bayar bil elektrik sebabkan 5 beranak maut - Utusan Malaysia

Assalamualaikum.

Terharu melihat tragedi kematian sebuah keluarga dalam satu kebakaran di Johor yang disiarkan dalam berita tv semalam. Apa yang diberitahu kepada kita keluarga berkenaan terpaksa bergelap dan hanya bercahayakan lilin akibat bekalan elektrik mereka telah dipotong oleh TNB kerana tunggakan bil dan kita juga diberitahu bahawa keluarga berkenaan tidak mampu untuk membayar tunggakan bil sebanyak RM 800 itu kerana ingin menampung pembiayaan anak-anak mereka yang belajar di IPTA.

Pemilik rumah yang disewanya, Jaliah Osman, 60-an, berkata, Sufiah pernah mengadu keluarganya kesempitan wang.
Lima hari lalu bekalan elektrik ke rumah itu dipotong kerana Kasmuri tidak dapat menjelaskan tunggakan bil sebanyak RM800.
“Kasmuri menggunakan sebahagian besar daripada wang yang dimiliki untuk membiayai tiga anaknya yang sedang menuntut di pusat pengajian tinggi,” kata Jaliah.
Jiran-jirannya percaya kebakaran pada pukul 3.30 pagi di rumah Kasmuri dan Sufiah di Lorong Osman Mohamad Salleh, Kampung Tengah di sini berpunca daripada api lilin.
Sejak lima hari lalu keluarga itu menggunakan api lilin untuk menerangi rumah.
Dalam kebakaran itu, Kasmuri, Sufiah serta dua anak lelaki mereka, Hishammuddin, 13 dan Izwanuddin, 9, dijumpai rentung bersama anak perempuan, Nurul Macella, 8.
Seorang lagi anak perempuan mangsa, Norfarhana Kasmuri, 15, terselamat kerana sempat melarikan diri melalui pintu depan dan kemudian menjerit meminta tolong.
Semasa kejadian, tiga daripada tujuh anak Kasmuri tidak berada di rumah kerana menuntut di tiga institusi pengajian tinggi tempatan iaitu anak sulungnya, Faezah, 20, di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang; Salahuddin, 19, pelajar jurusan kejuruteraan elektrik di Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM), Batu Pahat dan Juliana, 18, pelajar kolej matrikulasi di Pulau Pinang. Utusan Malaysia - 10 Ogos 2007.


Di sini kita menerima bahawa ianya adalah satu takdir dan ketentuan daripada Allah SWT. Namun begitu kita agak terkilan kerana puncanya adalah kerana bekalan elektrik yang dipotong dan bekalan elektrik mereka dipotong atas sebab jumlah tunggakan bil yang tidak sampai RM 1000 sedangkan kita dapati ada syarikat-syarikat besar dan agensi kerajaan yang berhutang hingga jutaan ringgit kepada TNB.

Dan kita juga agak terkilan kerana kos pendidikan di negara kita yang tinggi telah menyebabkan mereka terpaksa melepaskan salahsatu daripada keperluan harian yang penting iaitu sumber tenaga elektrik. Nampaknya dalam negara mencecah usia 50 tahun kemerdekaan masih ada lagi rakyat yang dihimpit oleh kemiskinan hingga terpaksa bercahayakan lilin dirumah yang akhirnya membawa musibah kepada mereka dan kejadian ini berlaku di negeri Johor iaitu negeri kelahiran dan kubu kuat Umno yang disebut-sebut sebagai pembela rakyat khususnya orang Melayu. Semoga ianya menjadi iktibar kepada kita dan juga mereka yang diberikan amanah.

posted by Lidah Penghunus @ 4:34 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter