Friday, November 16, 2007

Hunusan 161107

Assalamualaikum.

‘Saya tahu tarikhnya’ -- Namun tidak dapat nyatakan bila pilihan raya diadakan – Ab. Rashid.

MELAKA 15 Nov. – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, beliau tahu bila pilihan raya umum ke-12 akan diadakan tetapi tidak dapat mengumumkannya.
“Saya tidak boleh berbohong yang saya tidak tahu bila (tarikh) pilihan raya umum akan datang. Saya tidak dapat beritahu bila masanya, tetapi saya telah beri cukup peringatan untuk semua pihak membuat persediaan,” katanya.
Sambil menjelaskan bahawa bahang pilihan raya umum semakin hampir, beliau meminta semua pihak bersedia kerana SPR tidak mahu sesiapa pun ketinggalan dalam membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum. Utusan Malaysia - 16 November 2007.


Boleh percayakah dengan kata-kata pengerusi SPR ini? Sedangkan dalam isu celupan dakwat kekal dahulu SPR pernah berbohong kepada Pas dan DAP apabila mengatakan kepada DAP bahawa PAS menentang penggunaan dakwat kekal.

Dan jika benar Tan Sri Rashid tahu tentang tarikh pilihanraya maka adalah suatu yang menghairankan kerana setahu saya sebelum ini tidak pernah pun didedahkan tentang tarikh pilihanraya kepada pengerusi SPR kerana sudah menjadi amalan biasa di negara ini bahawa Perdana Menteri sahaja yang tahu tentang tarikh pilihanraya umum.


Lagi isu klip video dan panel siasatan.

Semalam saya ada menyentuh berkenaan cadangan panel yang dilantik untuk menyiasat klip video VK Lingam agar ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja. Dalam akhbar hari ini pula kerajaan berkemungkinan akan menerima cadangan panel siasatan itu;

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, tidak menolak kemungkinan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menjalankan inkuiri berhubung kesahihan rakaman perbualan telefon yang didakwa antara seorang peguam dan hakim kanan mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara.
Dr Rais yang juga seorang daripada tiga menteri yang ditugaskan memberi pandangan dari perspektif perundangan mengenai hasil laporan panel bebas khas yang menyiasat rakaman itu, mengesahkan beliau sudah menerima dan meneliti salinan laporan berkenaan. Berita Harian - 16 November 2007.

Melihatkan kepada perkembangan-perkembangan yang positif berkenaan siasatan video klip konroversi berkenaan menunjukkan kepada kita bahawa pendedahan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebenarnya adalah berasas bukannya 'konon-konon' seperti yang digembar-gemburkan oleh media sebelum ini.

Cumanya sekarang ini satu Suruhanjaya Diraja yang benar-benar berkemampuan diperlukan untuk mengesahkan lagi hasil siasatan. Apapun sama-sama kita nantikan apakah keputusan akhir siasatan itu kelak. Dan yang paling penting apakah tindakan seterusnya daripada hasil siasatan itu kerana yang penting bagi kita ialah tindakan bagi memulihkan sistem kehakiman di negara kita.


Ubah suai pusat sukan di England ditolak.
KUALA LUMPUR: Permohonan Malaysia untuk mengubah suai Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak (TARRC) di Brickendonbury, England, bagi mewujudkan pangkalan hadapan atlit elit negara ditolak Jawatankuasa Kawalan Pembangunan Majlis Hertfordshire Timur.

Keputusan itu dibuat selepas 13 daripada 19 ahli majlis berkenaan menentangnya pada mesyuarat di Bishop Stortford, Hertfordshire, awal pagi semalam.
Berikutan itu, cadangan menubuhkan pangkalan berkenaan yang dikenali Pusat Latihan Prestasi Tinggi (PLPT) kini bergantung kepada keputusan lanjut Jawatankuasa Kabinet mengenai Pembangunan Sukan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Aziz, dalam kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Media dan Komunikasi, ISN menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang malang. Berita Harian - 16 November 2007.


Jika tuan-tuan masih ingat cadangan pembinaan pusat sukan ini pernah dipertikaikan kerana kosnya yang menelan ratusan juta wang rakyat. Sebagaimana yang kita maklum di Malaysia sendiri banyak bangunan-bangunan milik kerajaan yang bocor dan runtuh. Yang terbaru bangunan milik Perbadanan Taman Negeri Perak runtuh menyembah bumi. Mungkin penolakan cadangan pengubahsuaian oleh Jawatankuasa Kawalan Pembangunan Majlis Hertfordshire Timur ini mempunyai kaitan dengan insiden bocor dan runtuh yang berlaku di negara ini.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter