Sunday, November 18, 2007

Hunusan mingguan

Assalamulaikum.

YDP MDHS akhirnya tidak dapat sembunyikan kekecewaannya.

Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor, Tukiman Nail (gambar) menegaskan, beliau lebih rela bersara awal atau mengambil Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) jika itu yang dimahukan oleh kerajaan negeri daripada dihadiahkan penyapu.
Beliau berkata, tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menghadiahkan penyapu amat sukar untuk diterimanya sebagai kakitangan kerajaan yang telah berkhidmat selama 28 tahun.
Menurutnya, beliau terpaksa juga menerima hadiah penyapu itu dengan menganggapnya sebagai cabaran supaya lebih gigih untuk mengutip hasil pada tahun hadapan, apatah lagi ia dipersetujui dalam mesyuarat bersama tahun lepas.
‘‘Kalau ada pilihan, saya sebenarnya lebih rela ambil VSS atau bersara awal daripada dapat hadiah penyapu yang bagi saya amat sukar untuk diterima,’’ katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini. Mingguan Malaysia - 18 November 2007
.

Melihatkan petikan akhbar di atas ini menunjukkan YDP Majlis Daerah Hulu Selangor akhirnya tidak dapat menyembunyikan kekesalannya atas apa yang dilakukan oleh Menteri Besar terhadapnya. Pada awalnya memang beliau menyatakan bahawa anugerah itu beliau terima dengan hati yang terbuka dan menganggapnya sebagai cabaran. Tapi melihat daripada raut wajahnya kita pun tahu bahawa beliau amat tidak senang tindakan Datuk Seri Khir Toyo itu.

Bayangkan beliau sudah 28 tahun berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan dan kita percaya kedudukan beliau sebagai orang No. 1 bagi majlis daerah ini juga adalah hasil pencapaian dan komitmen beliau dalam sektor perkhidmatan awam selama 28 tahun. Namun tiba-tiba beliau dihadiahkan penyapu yang amat menghinakan oleh Menteri Besar Selangor. Siapalah tidak kecewa diperlakukan sebegitu.

Sekarang ini walaupun Khir Toyo mengatakan bahawa tiada lagi anugerah penyapu pada tahun hadapan namun hati individu yang terbabit dan kakitangan secara umumnya telah terluka dan beliau sebagai Menteri Besar telah berjaya menonjolkan kebodohan beliau sendiri. Maka pada pilihanraya umum akan datang adalah lebih baik sahaja Khir Toyo disingkirkan dengan 'penyapu kuning rakyat'.


Apabila isteri TPM bercakap tentang busana muslimah.

Pereka fesyen Islam perlu lebih agresif.
KUALA LUMPUR 17 Nov. – Datin Seri Rosmah Mansor menggesa pereka fesyen Islam lebih agresif dalam memasar dan memberi penjenamaan kepada rekaan mereka bagi menarik minat masyarakat Islam dan dunia luar terhadap fesyen Islam.
Isteri Timbalan Perdana Menteri berkata, ketika ini fesyen Islam sering dilihat sebagai tidak menarik, ketinggalan dan hanya dalam satu dimensi.
Katanya, dua sebab perkara itu berlaku iaitu pengguna Islam tidak sedar tentang kepelbagaian gaya fesyen Islam terkini di pasaran dan kebimbangan vendor fesyen Islam dalam membuat pelaburan pada aspek penjenamaan dan pemasaran.
‘‘Dalam dunia fesyen, penjenamaan dan pemasaran adalah segala-galanya. Penjenamaan mewujudkan kesedaran di kalangan pengguna ketika membuat pilihan,’’ katanya ketika berucap di Majlis Jamuan Malam Amal Festival Fesyen Islam KL-Jakarta (IFF 2007) di sini malam ini.
Berangkat ke majlis itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah; Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom.
Rosmah yang juga penaung IFF 2007 berkata, setiap penjenamaan dan pemasaran yang dibuat adalah untuk menjadikan sesuatu produk pilihan pertama di kalangan pengguna. Mingguan Malaysia - 18 November 2007.


Isteri Datuk Seri Najib Tun Razak ini bercakap berkenaan fesyen yang bercirikan Islam tetapi beliau sendiri tidak memakai tudung seperti yang dituntut oleh Islam. Adakah layak untuk beliau bercakap berkenaan dengannya. Asas sesuatu rekaan fesyen bercirikan Islam adalah penutupan aurat secara keseluruhan. Dan seperti juga konsep sastera Islam yang diperincikan oleh SN Shahnon Ahmad, fesyen Islam itu tidak akan sempurna jika ianya tidak dilengkapkan sekali dengan akhlak Islam oleh pemakainya itu. Sepatutnya orang yang paling layak bercakap tentang fesyen Islam pada majlis itu ialah Permaisuri Agong sendiri.

posted by Lidah Penghunus @ 2:56 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter