Wednesday, January 16, 2008

Ikhlaskah Barisan Nasional?

Assalamualaikum.

Hargai keikhlasan BN.
PUTRAJAYA 15 Jan. – Rakyat Kelantan dapat melihat tandatanda bahawa negeri itu sudah dibawa dalam arus perdana pembangunan negara dan proses itu akan bertambah rancak jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat untuk kembali memerintah.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mustapa Mohamed berkata, pihaknya berharap rakyat negeri itu menghargai keikhlasan kepimpinan BN dengan membuat pilihan terbaik pada pilihan raya umum akan datang.
Dalam hal ini, beliau berkata, UMNO telah membuat segala persiapan bagi menggalas cabaran mengembalikan semula mandat kepada BN negeri itu. Utusan Malaysia - 16 Januari 2008.


Orang atau pihak yang benar-benar ikhlas mereka tidak akan menyebut bahawa mereka ikhlas. Orang lain atau rakyat yang akan menilai seseorang atau sesuatu pihak itu ikhlas atau tidak. Kenyataan seorang pemimpin BN negeri dalam akhbar di atas ini sahaja menunjukkan kepada kita bahawa mereka sebenarnya tidak ikhlas dalam melakukan sesuatu. Semua yang dilakukan hanya kerana pilihanraya dan keuntungan politik.

Ini ditambah lagi dengan pilihanraya umum yang makin hampir maka mereka ini akan mula berbuat sesuatu untuk menunjukkan kononnya mereka itu prihatin kepada rakyat. Saya diberitahu oleh seorang kenalan daripada penjawat awam bahawa ketika hampir pilihanraya ini cadangan kerajaan negeri Selangor untuk menaikkan kadar lesen perniagaan ditangguhkan, caj proses untuk permohonan lesen perniagaan dihapuskan dan tempoh kelulusan lesen perniagaan dipendekkan.

Malahan operasi rampasan oleh pihak penguatkuasa PBT tidak dilakukan buat masa ini untuk menghindari kebencian masyarakat khususnya golongan peniaga kepada pemerintah. Lihatlah betapa terdesaknya kerajaan dalam meraih sokongan rakyat yang mereka lihat ketika ini semakin merosot. Saya percaya apa sahaja yang rakyat minta ketika ini dengan mudah akan ditunaikan oleh kerajaan khususnya diperingkat pihak berkuasa tempatan.

Namun kita hairan masih ada lagi segelintir rakyat yang masih belum sedar bahawa mereka sebenarnya sedang dipermainkan oleh pemerintah. Mereka hanya diperlukan ketika pilihanraya sahaja. Apabila berlalu pilihanraya mereka tidak akan dipedulikan lagi. Lihatlah apa yang berlaku pada pilihanraya kecil Ijok, suatu kawasan yang dahulunya tidak mendapatkan perhatian tiba-tiba mendapat limpahan pembangunan apabila meletusnya pilihanraya kecil di situ kerana kematian Adunnya.

posted by Lidah Penghunus @ 6:14 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter