Tuesday, January 01, 2008

Dulu klip video kini DVD.

Assalamualaikum.

Pengedaran DVD lucah iras menteri MCA disiasat.
KUALA LUMPUR: Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman mengarahkan siasatan dibuat berhubung pengedaran cakera video digital (DVD) rakaman aksi lucah membabitkan lelaki yang menyerupai seorang menteri Kabinet daripada MCA. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata polis Johor sudah diarah untuk mengesan individu atau pihak yang bertanggungjawab mengedarkan DVD terbabit di beberapa bandar di negeri itu sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Hussin Ismail, ketika dihubungi berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Berita Harian - 1 Januari 2008(1).

Belum pun selesai siasatan klip video VK Lingam kini timbul pula isu DVD lucah melibatkan menteri kabinet daripada MCA. Pada permulaan isu ini didedahkan saya terbayangkan bahawa mula-mula akan ditubuhkan satu panel siasatan yang diketuai oleh tidak lain tidak bukan Tan Sri Haidar sendiri. Kemudiannya selepas berbulan-bulan siasatan dibuat, tiada berhasil dan mereka mencadangkan agar dibentuk pula Suruhanjaya Diraja. Ketuanya adalah Tan Sri Haidar juga.

Dalam kita tertanya-tanya siapa Menteri yang dimaksudkan itu. Berita tv sebentar tadi mengejutkan kita apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Chua Soi Lek sendiri mengakui bahawa dalam DVD lucah itu adalah beliau. Di sini kita pujilah sedikit kesanggupan beliau untuk mengaku hal yang sebenar dan akui kesilapannya. Namun apa yang kita tidak boleh terima beliau masih ingin terus memegang jawatan sebagai menteri dan ahli parlimen.

Sedarkah beliau bahawa ini adalah soal akhlak seorang pemimpin. Beliau adalah seorang menteri kerajaan pusat. Tambahan lagi beliau adalah Menteri Kesihatan. Sepatutnya harus bebas daripada gejala seks bebas yang mengundang pelbagai risiko penyakit ini. Namun sekarang beliau telah menonjolkan perilaku yang buruk kepada rakyat maka adalah lebih baik beliau meletakkan jawatan sahaja. Prof. Khoo Kay Kim ketika diminta mengulas pun mengatakan bahawa Datuk Chua harus meletakkan jawatan kerana melibatkan akhlak seorang pemimpin.

Di sini juga kita kesal dengan beberapa ahli Barisan Nasional termasuk Umno yang terus mahu menyokong beliau. Malahan mereka menyalahkan pula musuh-musuh politik mereka yang dikatakan merancang untuk menjatuhkan mereka. Nampaknya jelaslah di sini bahawa mereka yang dalam Barisan Nasional ini tidak menitikberatkan soal akhlak sebenarnya. Mereka tidak kisah jika akhlak seseorang itu rendah, pernah terlibat dengan seks bebas, asalkan mereka terus kekal berkuasa sebagai pemerintah di negara ini. Maka inilah kita dapat sekarang iaitu mereka yang rendah akhlaknya memimpin kita.

posted by Lidah Penghunus @ 11:23 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter